KUALA LUMPUR 21 Feb. - Chow Chee Keong adalah
penjaga gol terbaik pernah dilahirkan oleh negara, malah kehebatannya boleh
diibaratkan seperti ‘Oliver Kahn’ Malaysia, kata legenda bola sepak kebangsaan,
Dali Omar.
Dali yang merupakan bekas rakan sepasukan Chee
Keong dalam skuad kebangsaan pada era 1960-an terkejut sebaik sahaja menerima
berita rakannya itu dan menyifatkan ia satu kehilangan besar buat sukan tanah
air.
“Secara peribadi, saya tidak pernah jumpa
penjaga gol lain seperti mendiang. Bagi saya, Chee Keong terlalu hebat kerana
bukan mudah untuk menewaskannya di gawang gol. Saya sendiri pun sukar untuk
menewaskannya.
“Mendiang seorang yang pendiam, berkelakuan
baik, serius ketika menjalani latihan dan berani menghalang asakan lawan. Kali
terakhir saya berjumpa dengan mendiang pada 1970 ketika kami beraksi bersama
kelab masing-masing dalam Liga Malaysia.
“Kehilangan yang tiada penggantinya.
Kehebatannya seperti penjaga gol Jerman, Oliver Kahn,” katanya kepada Utusan
Online di sini hari ini.
Chee Keong, 69, pernah dinobatkan sebagai
Penjaga Gol Terbaik Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) lima tahun berturut-turut
bermula 1966 meninggal dunia pada jam 7 pagi tadi di Pusat Perubatan Universiti
Malaya (PPUM). Bekas penjaga gol Selangor itu meninggalkan balu, Christina Kwok
dan anak lelaki, Adrian.
Dalam pada itu, Setiausaha Agung Persatuan Bola
Sepak Malaysia (FAM) Datuk Hamidin Mohd. Amin yang sempat meluangkan masanya
melawat keluarga mendiang di PPUM hari ini turut melahirkan rasa sedihnya
terhadap pemergian mendiang.
“Difahamkan mendiang disahkan menghidapi kanser
tahap empat di bahagian pundi kencing pada tahun lalu dan pada Januari lalu,
mendiang melakukan pembedahan pintasan jantung. Terdapat beberapa komplikasi
daripada penyakit yang berasingan itu. Takziah saya ucapkan kepada keluarga
mendiang,” katanya. - UTUSAN ONLINE

Tiada ulasan:
Catat Ulasan