DALI anggap Chee Keong miliki pakej lengkap.
KUALA LUMPUR: "Senang cerita, dia macam Supermanlah!"
kata bekas rakan sepasukan mendiang Chow Chee Keong, Dali Omar.
Bekas pemain kebangsaan era 70-an itu mengakui susuk tubuh yang
tinggi lampai dan keberanian yang dimiliki bekas penjaga gol HK Rangers itu
membuatkan dia mampu menjadi 'benteng terakhir' yang begitu ampuh dan sukar
untuk ditewaskan.
Pujian melambung yang dilontarkan Dali itu dilihat sememangnya
berasas apabila Chee Keong dinobatkan selaku Penjaga Gol Terbaik Konfederasi
Bola Sepak Asia (AFC) untuk lima tahun berturut-turut bermula dari tahun 1966
hingga 1970.
"Kalau dinilai daripada fizikal Chee Keong, tidak dapat
dinafikan dia ada pakej yang lengkap sebagai penjaga gol. Meskipun dia boleh
dikatakan agak pendiam, semangatnya begitu tinggi dan dia cukup berani ketika
berada di atas padang.
"Ketangkasannya begitu cemerlang dan jika penyerang lawan
sekadar memiliki teknik yang biasa saja atau tidak begitu berpengalaman, memang
sukar untuk menewaskannya.
"Setakat ini, tiada lagi penjaga gol yang saya lihat berada
pada kelas yang pernah ditunjukkan oleh Chee Keong sebelum ini. Dia sememangnya
penjaga gol nombor satu Malaysia," katanya ketika dihubungi hari ini.
Pernah berkongsi padang bersama Chee Keong sebagai rakan
sepasukan dan juga seteru, Dali kembali mengimbas pertembungan final Piala
Malaysia 1966 yang menemukan pasukannya, Tentera dengan pasukan diwakili Chee
Keong, Selangor.
"Pada aksi final itu, Chee Keong menunjukkan persembahan
yang begitu sempurna. Ke sana ke sini dia 'terbang' untuk menafikan percubaan
daripada pasukan yang saya kemudi.
"Akhirnya, rezeki tidak berpihak kepada Tentera apabila
Selangor meraih kejuaraan menerusi kemenangan 1-0," katanya.
Bekas penjaga gol kebangsaan era 1960-an itu meninggal dunia
pada jam 7 pagi tadi di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM).
Dia yang menghembuskan nafas terakhir pada usia 69 tahun itu
mula membarisi skuad bawah 20 tahun negara (B-20) pada usia 13 tahun sebelum
muncul sebagai antara pemain termuda menyarung jersi skuad utama kebangsaan
apabila berbuat demikian pada usia 15 tahun.

Tiada ulasan:
Catat Ulasan