Drama bola sepak Malaysia boleh bersaing dengan Liga Perdana
Inggeris atau EPL. Situasi yang timbul begitu awal musim bola sepak Malaysia
2018 sudah setanding dengan bahan pemasaran bola sepak di England.
Pasukan Kelantan sudah memecat jurulatih Sathit Bensoh selepas
tiga perlawanan, sekali gus memadamkan persiapan pramusim. Persiapan pramusim
yang paling penting untuk mewujudkan persefahaman taktikal, mengemaskan aspek
teknikal dan membina ketahanan serta kekuatan fizikal.
Sekali gus, jangkamasa minimum enam minggu dipadamkan kerana
keputusan tidak memberangsangkan. Seterusnya, pasukan Kelantan terpaksa
memperbaiki sesuatu yang akan memakan lebih banyak masa. Apa punca pemecatan
Sathit Bensoh?
Adakah Sathit yang membuat pemilihan pemain asing kerana jelas
Ferdinand Sinaga, Cássio serta Bruno Lopes sekadar pemain sederhana saja.
Adakah ketiga-tiga pemain itu dipilih atas dasar mengisi slot pemain asing atau
kerana jauh lebih bagus berbanding pemain tempatan?
Adakah Mohammed Ghaddar kembali ke Kelantan kerana sentimen
selepas prestasi menurun pada permulaan musim ini?
Pasukan Negeri Sembilan juga mengikut jejak langkah Kelantan
dengan memecat Jorg Steinebrunner yang dilantik sebagai jurulatih selepas
menggalas tugas sebagai pengarah teknikal.
Mengikut drama yang membabitkan pemecatan dua jurulatih, maka
Liga Malaysia sudah berada di tahap Liga Perdana Inggeris di mana pemecatan
jurulatih menjadi tajuk perbualan dan kita sedia tahu EPL dahagakan berita
tragis.
Kalau kita imbas kembali, Frank De Boer dipecat Crystal Palace
pada awal musim 2017/2018. Selepas gagal mengutip mata daripada empat
perlawanan pertama, maka jurulatih Belanda itu dibuang kerja.
Kita juga kehilangan seorang pemain asing yang terhandal di Liga
Malaysia selepas Jorge Pereyra Diaz meninggalkan pasukan JDT. Pereyra Diaz yang
menjadi ikon sejarah pasukan JDT sudah mewarnai Liga Malaysia dan kini pemain
yang mempunyai karakter tersendiri itu menjadi satu kehilangan yang besar.
Penyerang yang ‘genuine talent’ tidak selalu hadir di Malaysia.
Memang pemain ini tiada pesaing. Lihat sajalah betapa tumpul serta terhad
Gilmar yang mewakili pasukan Perak
Arsenal kehilangan penyerang dari Chile, Alexis Sanchez yang
berhijrah ke Manchester United. Apakah keuntungan pasukan dari Old Trafford?
Setakat ini belum kelihatan impak Sanchez dan ini menimbulkan persoalan
falsafah permainan yang diamalkan.
Pada hujung minggu lalu kita dapat melihat bagaimana pengurus
pasukan Arsenal dicaci kerana tewas di final Piala EFL. Arsenal dibelasah
Manchester City, sekaligus Arsene Wenger berada di dalam keadaan tertekan.
Peminat serta penyokong Arsenal berpendapat Wenger sudah tidak
layak mengendalikan pasukan dari London itu.
Sekiranya, Manchester City tewas pada final itu, maka Pep
Guardiola akan menjadi mangsa penyokong dan peminat bola sepak di seluruh
dunia.
Daripada perbelanjaan yang lumayan sehingga falsafah bola sepak
akan menjadi senjata terhadap Pep Guardiola. Segala sejarah dan pencapaian
bersama Barcelona dan Bayern Munich akan diperkatakan sebagai lumrah kerana mempunyai
antara pemain terbaik di dunia.
Tetapi,
EPL memang hidup di atas dasar hype serta gosip dan kita sudah melihat
bagaimana bolasepak Malaysia mengikut jejak langkah yang sama.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan