Featured post

📆 Jadual perlawanan CIMB Liga Super dan Liga Premier musim 2020!#LigaMalaysiaKembali#CIMBLigaSuper2020#LigaPremier2020

📆 Jadual perlawanan CIMB Liga Super dan Liga Premier musim 2020! Untuk download,  https:// https:/U/ we.tl/t-O8tyMSagYQ Anda bole...

Sabtu, 3 Mac 2018

Kerusi stadium wajib bernombor

Penyokong harus duduk mengikut angka pada tiket sebagai langkah keselamatan


PENGGUNAAN kerusi bernombor di stadium membolehkan pihak berkuasa dan keselamatan mengenal pasti mana-mana penyokong yang melakukan onar atau keganasan ketika perlawanan Liga M. Gambar hiasan

DALAM usaha memartabatkan sukan bola sepak negara, Jawatankuasa Keselamatan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) mengusulkan agar setiap stadium yang menjadi venue perlawanan Liga Malaysia (Liga M) perlu menggunakan kerusi bernombor sebagai langkah memperkemaskan sistem keselamatan sedia ada.

Pengerusi Jawatankuasa Keselamatan FAM, Datuk Seri Zulkifli Abdullah berkata, cadangan itu dikemukakan setelah mengambil kira pelbagai isu serta melihat beberapa insiden sebelum ini yang dilihat mengganggu serta mengancam keselamatan para penyokong untuk menikmati perlawanan Liga M dengan tenang dan aman.

“Sudah tentunya penggunaan kerusi bernombor ini secara tidak langsung dapat memastikan serta mengawal jumlah penyokong bola sepak yang hadir ke stadium dalam satu-satu masa pada setiap perlawanan.

“Para penyokong yang membeli tiket di kaunter-kaunter stadium akan diberikan nombor yang di­nyatakan dalam tiket dan mereka harus patuh serta duduk di kerusi-kerusi yang nombornya tertera pada tiket masing-masing.

“Langkah ini bukan sahaja dapat mengelak sebarang insiden keganasan bahkan pihak ke­selamatan boleh mengenal pasti mana-mana penyokong yang mengeluarkan kata-kata bersifat perkauman hingga boleh menyinggung perasaan penonton-penonton lain di stadium,” katanya ketika berucap pada Majlis Penutupan Seminar Keselamatan Bola Sepak FAM di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Sebelum ini, berlaku insiden ekoran protes penyokong-penyokong yang kecewa terhadap persembahan buruk pasukan masing-masing selain dipercayai wujudnya kemungkinan elemen-elemen balas dendam antara kedua-dua penyokong se­perti apa yang berlaku ketika perlawanan Liga M melibatkan pertembungan antara Perak menentang Johor Darul Ta’zim (JDT) di Stadium Perak pada 2014.

Zulkifli yang juga Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri Dan Ketenteraman Awam (KDNKA) Bukit Aman bagaimanapun memberitahu, cada­ngan tersebut telah dikemukakan pada mesyuarat exco FAM, namun ia masih menunggu persetujuan semua pihak sebelum langkah tersebut diwajibkan ke atas setiap stadium bagi perlawanan Liga M.

“Usaha yang ingin kita ketengahkan ini sememangnya dapat membantu dalam mengurangkan kes-kes jenayah atau keganasan yang berlaku semasa perlawanan Liga M berlangsung.

“Kita tidak mahu insiden yang tidak sepatutnya berlaku akan berulang serta menyebabkan kerugian amat besar kepada pihak pengurusan pasukan ne­geri atau kelab dan juga FAM,” ujarnya.

Sementara itu, keberkesanan sistem kerusi bernombor ini sememangnya sudah terbukti di peringkat antarabangsa terutama­nya di Eropah seperti yang dipraktikkan pada Liga Perdana England apabila para penyokong tidak me­lakukan sebarang protes walaupun pasukan mereka ditimpa kekalahan besar secara berturut-turut.

Ini kerana, pihak berkuasa dan keselamatan stadium mampu mengesan mana-mana penyokong melakukan onar atau keganasan dan suspek yang dikenal pasti akan diambil tindakan selain tidak dibenarkan untuk memasuki stadium pada perlawanan sete­rusnya bagi memastikan keselamatan penyokong lain terjamin.

Mengulas lanjut, Zulkifli turut menyarankan setiap pasukan melantik marsyal dalam kalangan penyokong masing-ma­sing agar insiden seperti rusuhan dan keganasan tidak berulang pada musim ini.

“Jawatankuasa Keselamatan FAM memandang berat aspek keselamatan kerana kita mahu perlawanan Liga M berjalan lancar dan penyokong dapat menikmati aksi dalam keadaan selesa.

“Tahun lepas, insiden atau rusuhan yang berlaku tidak terlalu serius, namun kami mengharapkan tahun ini ia tidak akan berulang,” ujarnya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan