KETUA Pegawai Eksekutif FMLLP , Kevin
Ramalingam gesa agar semua pasukan melengkapkan segala dokumen andai insiden
pasukan dikenakan hukuman pemotongan mata musim lalu tidak berulang. - Foto
Osman Adnan
KUALA LUMPUR: Bukan hanya
Kuantan FA malah beberapa lagi pasukan Liga Malaysia (Liga-M) dalam bahaya
untuk dikenakan tindakan tegas andai masalah tunggakan gaji tidak dapat
diselesaikan sebelum tarikh pendaftaran pasukan pada 31 Mac ini.
Perkara itu disahkan oleh
Ketua Pegawai Eksekutif Perkongsian Liabiliti Terhad Bolasepak Malaysia
(FMLLP), Kevin Ramalingam yang menggesa agar semua pasukan melengkapkan segala
dokumen andai insiden pasukan dikenakan hukuman pemotongan mata musim lalu
tidak berulang.
"Untuk mendaftar
pasukan, perlu dokumen yang lengkap termasuk pembayaran gaji, jika ada dokumen
tak lengkap, bermaksud ada masalah di situ. Kita akan maklumkan kepada ahli
lembaga pengarah (FMLLP) untuk buat keputusan jika ada pasukan yang gagal,
setakat ini memang ada pasukan lain yang terlibat (tunggakan gaji) dan pasukan
itu akan berdepan keputusan yang dilihat sebagai keras," katanya ketika
dihubungi, di sini, hari ini.
Semalam, enam bekas pemain
Kuantan FA mendakwa masih belum menerima sebarang bayaran daripada pihak
pengurusan kelab Liga Perdana itu meskipun Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM)
sudah mengarahkan untuk melangsaikan tunggakan gaji berjumlah RM145,250 pada 15
Januari lalu.
Berdasarkan laporan,
Kuantan FA masih mempunyai 6 kes tunggakan gaji yang dibawa ke Persekutuan
Bolasepak Antarabangsa (FIFA) dan 21 dengan FAM.
Beberapa pasukan lain
termasuk daripada Liga Super seperti Kelantan, Pahang, PKNP FC, Perak, Melaka
United dan PKNS FC juga masih mempunyai kes berkaitan tunggakan gaji, pampasan
dan sebagainya yang masih lagi menunggu keputusan di pihak FIFA dan FAM.
Selain itu, Sarawak, Pulau
Pinang dan FELCRA FC yang bertanding dalam Liga Perdana juga turut mempunyai
kes dengan FIFA dan FAM.
Salah seorang bekas pemain
Kuantan FA, Amirullah Abd Razab,28, sebelum ini mempertikaikan ketegasan FAM
dan FMLLP dalam mengendalikan masalah tunggakan gaji ini namun Kevin berkata,
pihaknya perlu mengkaji semua aspek demi kebaikan bersama.
"Adakah dengan
menghalang Kuantan FA bertanding akan menjamin mereka mendapat semula bayaran
gaji yang tertunggak itu? Sekurang-kurangnya bila kita benarkan pasukan
terbabit menyertai liga, mereka akan ada rasa tanggungjawab untuk bayar kerana
takut dikenakan hukuman.
"Kita akan beri ruang
dan bantu mana-mana pasukan untuk selesaikan masalah itu tapi jika ia
berlarutan, kita boleh ambil tindakan singkirkan pasukan terbabit, tapi kita
tak boleh ambil tindakan ini sebagai langkah pertama," jelas Kevin.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan