ADUNAN pemain senior, muda dan naturalisasi bakal menjadi ramuan
jurulatih, Tan Cheng Hoe bagi membentuk skuad kebangsaan yang lebih mantap.
Malah, beberapa nama daripada tiga gabungan itu sudah berada
dalam perancangannya untuk dipanggil apabila membuat persiapan untuk perlawanan
kelayakan Piala Asia 2019 menentang Lubnan, pada 27 Mac ini.
Jurulatih Harimau Malaya itu berkata selepas menilai persembahan
pemain muda pada Kejohanan Bawah 23 AFC di China bulan lalu selain aksi
sepanjang tiga perlawanan liga setakat ini, beliau sudah mendapat gambaran awal
mengenai pasukan bakal dibentuk.
“Persembahan di China membuktikan kita mempunyai ramai pemain
muda yang boleh dipertaruhkan untuk skuad kebangsaan pada masa depan. Sudah
pasti akan ada beberapa pemain yang bakal saya serapkan ke skuad utama.
“Pada masa sama, saya tidak akan menutup pintu kepada pemain
senior kerana pengalaman mereka juga sangat berguna untuk pasukan kebangsaan.
“Pandangan yang mengatakan sudah sampai masanya rombakan
besar-besaran dilakukan ke atas skuad kebangsaan dengan menggunakan sepenuhnya
tenaga muda tidak boleh diguna pakai. Kita tetap perlukan pemain senior,” kata
Cheng Hoe.
Jurulatih itu juga menegaskan beliau akan turut membuka pintu
untuk lebih ramai pemain naturalisasi menyarung jersi Harimau Malaya.
“Kalau pemain naturalisasi memang bagus dan layak mewakili
negara, mengapa perlu kita sisih mereka, apatah lagi jika mereka memiliki
pertalian darah dengan negara kita.
“Tanggapan mereka tidak memiliki ‘jiwa’ Malaysia kerana tidak
dilahirkan atau dibesarkan di sini, tidak relevan kerana setiap pemain memiliki
semangat untuk menang walau pasukan mana juga diwakili.
“Buktinya, beberapa pemain naturalisasi seperti Matthew Davies
(Pahang), Darren Lok (Johor Darul Ta’zim), Brendan Gan (Perak) yang diberi
peluang mewakili Malaysia sudah memberi komitmen 100 peratus.
“Bagi
saya, untuk berjaya, kita perlu sentiasa berfikiran positif. Sebagai jurulatih,
berdasarkan situasi sekarang, saya melihat gabungan pemain muda, senior dan
naturalisasi adalah adunan terbaik untuk pasukan kebangsaan kita,” kata Cheng
Hoe lagi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan