Featured post

📆 Jadual perlawanan CIMB Liga Super dan Liga Premier musim 2020!#LigaMalaysiaKembali#CIMBLigaSuper2020#LigaPremier2020

📆 Jadual perlawanan CIMB Liga Super dan Liga Premier musim 2020! Untuk download,  https:// https:/U/ we.tl/t-O8tyMSagYQ Anda bole...

Sabtu, 27 Januari 2018

Tuah Adam tukar posisi

PERTUKARAN posisi dari penyerang ke pertahanan dilihat membawa tuah buat pemain muda negara, Adam Nor Azlin apabila prestasinya melonjak secara mendadak ketika ini.
Adam yang sebelum ini bertindak sebagai peledak di bahagian serangan mula diberikan ‘lesen kereta kebal’ untuk mempertahankan kubu pasukannya oleh jurulatih Selangor, P Maniam pada musim lalu.
Biarpun Adam sudah kerap kali dipanggil bersama skuad Harimau Muda kendalian Datuk Ong Kim Swee, namun namanya semakin dikenali selepas menjalankan tugas dengan cemerlang di posisi pertahanan.
Bagi Maniam, kejayaan Adam mencipta nama sebagai antara pertahanan terbaik Malaysia ketika ini adalah hasil usaha gigih pemain itu sendiri yang sentiasa komited termasuk ketika latihan dan perlawanan sebenar.
“Kalau kita tengok kualiti, dia adalah lebih kepada bermain di posisi pertahanan. Ia sesuai dengan corak permainannya yang agresif.
“Saya tidak boleh kata yang saya kembangkan bakat dia, tetapi usahanya yang memberikan fokus lebih 100 peratus ketika latihan meletakkan dia berada pada tahap terbaik pada ketika ini.
“Malah, dia juga pemain yang sentiasa inginkan peningkatan dalam permainannya dan tidak mudah berpuas hati dengan tahap lama.
“Hasilnya, kita boleh tengok permainannya semakin matang dan memiliki pengalaman antarabangsa. Datuk Ong Kim Swee juga memainkan peranan dalam meletakkan Adam di tahap tertinggi,” katanya.
Adam beraksi cemerlang bersama skuad bawah 23 (B-23) tahun, termasuk ketika aksi kelayakan Kejohanan AFC B-23 dan Sukan SEA Kuala Lumpur tahun lalu.
Malah, dia turut menjadi watak penting ketika skuad kendalian Kim Swee itu melakar sejarah mara ke suku akhir Kejohanan AFC B-23 awal bulan ini, selain turut diberi peranan sebagai kapten dalam beberapa perlawanan terakhir.
Biarpun Adam tidak lagi bersama Selangor musim ini, Maniam tetap percaya pemain itu bakal meningkat bersama pasukan baharu musim 2018, Johor Darul Ta’zim (JDT).

“Dia pemain yang berbakat dan memiliki kualiti, saya percaya prestasinya akan terus meningkat. Jadi, saya ucapkan selamat berjaya kepada Adam bersama JDT,” katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan