KUALA LUMPUR: Kereta kebal
skuad bawah 23 (B-23) tahun negara, Adam Nor Azlin mengakui dia memikul tugas
lebih berat selepas bertukar posisi daripada serangan ke bahagian pertahanan.
Dia yang bakal membuat
penampilan bersama pasukan baharu, Johor Darul Ta'zim (JDT) musim ini berkata,
hanya sedikit kesilapan saja di bahagian pertahanan boleh mengundang bahaya
kepada pasukan.
Katanya, fokus pada tahap
terbaik diperlukan pertahanan bagi memastikan gawang sendiri tidak dibolosi
lawan hingga boleh menyebabkan pasukan berdepan risiko kekalahan.
"Saya tidak boleh
katakan pertukaran posisi yang saya buat ini berbaloi kerana dalam bola sepak,
pertahanan adalah paling penting, jadi tanggungjawab itu lebih berat berbanding
penyerang.
"Saya perlu kekalkan
momentum serta tingkatkan prestasi dari semasa ke semasa untuk memastikan saya
berada dalam radar pasukan di Malaysia," katanya.
Akhbar ini semalam
melaporkan 'lesen kereta kebal' diterima Adam daripada jurulatih Selangor, P
Maniam pada musim lalu dilihat membawa tuah kepada pemain berusia 22 tahun itu
selepas namanya mula melonjak termasuk bersama skuad negara.
Malah, dia turut dianggap
antara tonggak penting skuad B-23 terutama pada saingan Sukan SEA Kuala Lumpur,
tahun lalu dan Kejohanan Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC), awal bulan ini.
Adam bagaimanapun enggan
hanya dirinya dilabel sebagai 'hero' dalam skuad kendalian Datuk Ong Kim Swee,
sebaliknya menganggap setiap kejayaan adalah hasil kerja berpasukan.
"Saya tidak menganggap
saya adalah tonggak penting, bagi saya semua pemain adalah penting dalam
kejayaan skuad B-23 sepanjang Kejohanan AFC mahupun Sukan SEA.
"Apa yang saya praktikkan adalah latihan tambahan kerana semua pemain memerlukan usaha sendiri bagi memperbaiki segala kelemahan," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan