KUALA LUMPUR: "Kalau ada lagi yang terbabit dengan rasuah,
mereka sememangnya bodoh," kata Presiden Persatuan Jurulatih Bola Sepak
Malaysia (PJBM), B Sathianathan.
Tegas Sathianathan, pihaknya sentiasa memandang serius gejala
rasuah yang menghantui kancah bola sepak tempatan dan mengharapkan pihak
pengurusan pasukan supaya sentiasa profesional khususnya membabitkan pembayaran
gaji, bagi mengelak pemain daripada bergelumang dalam kegiatan rasuah serta
bookie.
Katanya, masalah tunggakan gaji yang sering melanda pasukan yang
tidak ternama dilihat menjadi punca pemain terjebak dengan gelaja rasuah dan
memberi ruang kepada bookie untuk mengambil kesempatan.
"Selalunya kita dengar masalah rasuah membabitkan pasukan
yang kecil kerana kebanyakan mereka terbeban dengan tunggakan gaji. Jadi, pihak
pengurusan pasukan patut mengambil langkah proaktif supaya situasi ini tidak
menjadi pemangkin kepada pemain untuk terbabit dengan bookie.
"Kita jarang mendengar pasukan besar terjebak dengan
masalah ini tetapi kalau ada juga yang terbabit, itu bermakna mereka begitu
bodoh. Mereka sudah menerima gaji yang lumayan, jadi buat apa mahu menerima
rasuah lagi?
"Saya pernah maklumkan sebelum ini dan sekali lagi saya
memberi amaran bahawa PJBM tidak akan berkompromi dengan jurulatih yang
terbabit dengan kegiatan rasuah. Kita sudah menggantung seumur hidup seorang
jurulatih yang didapati terbabit dengan rasuah," katanya ketika dihubungi,
hari ini.
Dalam masa sama, Sathianathan yang juga pengendali pasukan FELDA
United menyokong apa sahaja tindakan yang akan diambil oleh Timbalan Perdana
Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sebagai usaha untuk membanteras
gejala rasuah dalam bola sepak.
"Beliau terbabit dalam pengurusan bola sepak, jadi beliau
sedar betapa masalah rasuah ini sememangnya satu isu yang begitu serius. Jadi
saya optimis dengan ketegasan ini, masalah rasuah dapat diatasi," katanya.
Terdahulu, Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri menegaskan
tidak akan melepaskan mana-mana pihak yang didapati terbabit dengan rasuah dalam
bola sepak.
"Sebagai menteri, saya akan memastikan tiada seorang pun
akan terlepas daripada siasatan dan dakwaan pihak polis. Bukan saja pemain dan
pegawai pasukan, malah kita tahu bahawa ada dalam pengadil yang turut
bersekongkol dengan bookie.
"Ini bukan tuduhan dan
pengadil juga tidak akan terlepas jika ada bukti mereka menerima rasuah. Ini
amaran Zahid Hamidi," katanya pada majlis pelancaran pasukan PDRM 2018 di
Putrajaya, malam tadi.PRESIDEN Persatuan Jurulatih Bolasepak Malaysia (PJBM), B Sathianathan menyelar segelintir individu yang masih melakukan aktiviti rasuah dalam kancah bola sepak tempatan. - Foto Saddam Yusoff
Tiada ulasan:
Catat Ulasan