KUALA LUMPUR: Cadangan untuk mengubah format pertandingan supaya
Liga Malaysia (Liga M) tidak lagi dibanjiri pasukan negeri, sebaliknya
mengundang lebih banyak penyertaan pasukan berstatus kelab dianggap kurang
sesuai dengan senario semasa kancah bola sepak tempatan.
Timbalan Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Wira
Mohd Yusoff Mahadi menjelaskan, ia kerana Liga M masih belum mencapai tahap
komersial yang sesuai untuk pelaksaan format seperti yang dicadangkan.
Mohd Yusoff berkata, tiada individu atau syarikat swasta yang
sanggup melabur untuk membentuk satu pasukan kelab bola sepak dan bersaing
dalam liga tanpa memikirkan keuntungan.
Malah, katanya ketika ini Liga M juga hanya bergantung kepada
persatuan negeri yang sanggup berbelanja menguruskan pasukan bola sepak bagi
memberi kepuasan kepada rakyat negeri itu, bukannya berlandaskan kepada
keuntungan.
"Idea itu bagus, tetapi bagi saya buat masa ini ia tidak
sesuai untuk dilaksanakan, kecuali jika liga kita benar-benar memiliki nilai
komersial yang tinggi dan menarik minat pelabur.
"Mungkin akan datang ia boleh dilaksanakan, tetapi bukan
dalam masa terdekat dan berapa tahun lagi tempoh itu saya tidak pasti. FAM juga
sedang berusaha untuk ke arah itu (menambah nilai komersial Liga M).
"Pelaksanaan seperti format yang dicadangkan itu juga
memerlukan perancangan terbaik kerana jika negeri membuat pembangunan dan
selepas itu, bagaimana pemain ini dapat disalurkan ke kelab? Jadi, ia perlukan
kajian dan perancangan yang betul," katanya, hari ini.
Semalam, Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Tan Sri Tunku
Imran Tuanku Ja'afar, menggesa FAM mengkaji semula format pertandingan Liga M
yang menyaksikan liga berkenaan dibanjiri dengan penyertaan pasukan negeri.
Malah, beliau turut mencadangkan pasukan persatuan negeri hanya
memberi fokus kepada pembangunan dan kelab yang menyertai pertandingan.
Selain itu, Mohd Yusoff yang juga Pengerusi Jawatankuasa
Pertandingan Tempatan FAM berkata, kelab sedia ada dalam Liga M juga berdepan
cabaran besar terutama dalam mengumpul dana yang besar dan meraih sokongan
penyokong .
"Kebanyakan kelab yang ada pun tidak bertahan lama, kecuali
pasukan yang memiliki kewangan kukuh seperti FELDA United dan Felcra FC, tetapi
mereka pun diuruskan oleh satu badan.
"Penyokong juga dilihat lebih fanatik kepada pasukan
negeri, bukannya kelab. FELDA United pun sukar nak lihat penyokong mereka
penuhi stadium walaupun sudah lama bersaing dalam liga.
"Kalau penyokong tak
hadir ke stadium, bagaimana pasukan dapat meraih pendapatan mereka? Sebab itu,
saya berpendapat cadangan ini belum sesuai dengan senario semasa bola sepak
kita," katanya.TIMBALAN Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Wira Mohd Yusoff Mahadi akui Liga M masih belum mencapai tahap komersial yang sesuai untuk pelaksaan format seperti yang dicadangkan. - Foto Rasul Azli Samad
Tiada ulasan:
Catat Ulasan