KUALA LUMPUR 25 Jan. - Datuk Ong Kim Swee
berterima kasih kepada Tunku Ismail Sultan Ibrahim yang membuat keputusan untuk
menghantarnya ke Madrid sebagai ‘hadiah’ kerana kejayaannya membimbing skuad
muda negara mara ke suku akhir Kejohanan AFC Bawah 23 di China.
Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia, Tunku
Ismail semalam mengumumkan Kim Swee akan dihantar ke ibu negara Sepanyol itu
untuk menjalani kursus kejurulatihan bersama kelab terkenal Atletico Madrid
pada Mac.
Kim Swee berkata kesempatan yang diberikan
kepadanya untuk menjalani kursus bersama Atletico adalah peluang keemasan
baginya untuk mendalami ilmu kejurulatihan.
“Saya ingin mengucapkan setinggi-tinggi
penghargaan kepada Tunku Ismail di atas keprihatinan baginda yang sedia memberi
ruang dan peluang kepada saya untuk menimba ilmu di luar negara dan saya fikir
ini adalah peluang terbaik saya.
“Secara tidak langsung ini menunjukkan beliau
serius dengan pembangunan bola sepak negara, bukan hanya melibatkan pemain
tetapi barisan kejurulatihan.
“Sudah pasti saya tidak akan melepaskan peluang
keemasan ini kerana saya percaya dengan mempelajari ilmu bola sepak daripada
kelab bola sepak terkemuka semestinya akan membantu saya meningkatkan lagi mutu
kejurulatihan.
“Ilmu yang diperoleh di sana nanti sudah tentu
akan saya kongsikan dengan barisan kejurulatihan skuad B-23 negara,” katanya.
Kim Swee, yang memenangi pingat perak Sukan SEA
2017, meneruskan pencapaian cemerlang itu dengan membimbing skuad muda negara
mara ke suku akhir di China pada penampilan sulung Malaysia dalam Kejohanan AFC
B-23. Mereka 2-1 kepada Korea Selatan pada 20 Januari lalu.
Kim Swee, yang menimba ilmu dengan Queens Park
Rangers (QPR) di England pada Februari lalu, berharap dapat mempelajari hal
berkaitan pengurusan pasukan terutamanya daripada aspek sains sukan dengan
pakar-pakar di Atletico.
“Bukan sahaja mengenai
latihan dan persiapan Atletico Madrid tetapi perkara di luar padang saya perlu
belajar, dan saya ingin tahu bagaimana mereka menyediakan pasukan daripada
sudut sains sukan,” katanya.
ONG KIM SWEE akan ke Madrid
pada Mac depan untuk menjalani kursus kejurulatihan bersama kelab La Liga,
Atletico Madrid.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan