KUALA LUMPUR: Ketua jurulatih skuad bawah 23 (B-23) tahun
negara, Datuk Ong Kim Swee menjelaskan pasukan kendaliannya berada pada
landasan sama dengan Vietnam yang melakar kejutan di Kejohanan Konfederasi
Bolasepak Asia (AFC).
Vietnam mengejutkan beberapa pasukan gergasi termasuk Iraq dan
Qatar dalam laluan mara ke final kejohanan yang sedang berlangsung di China dan
bakal berdepan Uzbekistan, Sabtu ini.
Justeru, Kim Swee berkata, kesungguhan dan disiplin tinggi yang
dipamerkan barisan pemain Vietnam sepanjang kejohanan itu wajar dijadikan
contoh terbaik kepada pemain negara untuk terus mencipta kejayaan pada masa
akan datang.
"Ya (kita sedang mengikut jejak Vietnam) dan kita sudah
membuktikannya, cuma ia masih belum mencukupi di mana kita harus berusaha lagi.
"Walaupun kita tahu sememangnya Vietnam mempunyai pemain
berkualiti, pantas dan teknik yang bagus, dan pada kejohanan itu (AFC B-23)
mereka bermain dengan cukup baik.
"Tanpa disiplin tinggi saya percaya Vietnam tidak mampu
untuk layak ke final dan kita tidak boleh nafikan pemain mereka menunjukkan
kesungguhan pada tahap terbaik di mana kita harus contohi," katanya, hari
ini.
Semalam, Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar
percaya skuad kendalian Kim Swee yang terkandas di suku akhir apabila tewas 1-2
kepada Korea Selatan juga mampu untuk melakar kejutan dalam kejohanan besar
seperti yang dilakukan Vietnam.
Malah, Khairy menjelaskan Kementerian Belia dan Sukan (KBS)
sedia memberi sokongan termasuk dari aspek sains sukan bagi memastikan misi skuad
negara layak ke Olimpik Tokyo 2020 tercapai.
Sehubungan itu, Kim Swee menganggap kenyataan Khairy itu sebagai
perkembangan positif buat skuad negara dalam mencipta kejayaan lebih manis.
"Terima kasih kepada Khairy, tapi paling penting adalah
perancangan awal buat pasukan. Walaupun Sukan Olimpik akan berlangsung pada
tahun 2020, tapi kita perlu lakukan persiapan cukup rapi.
"Adanya bantuan daripada KBS, saya rasa dapat meringankan
sedikit beban yang ditanggung FAM (Persatuan Bolasepak Malaysia) kerana perancangan
yang teliti memerlukan banyak perbelanjaan.
"Bukan sahaja aspek
sains sukan, tapi banyak lagi yang boleh kita lakukan untuk persiapan dari awal
hingga ke pusingan kelayakan Olimpik Tokyo," katanya.KESUNGGUHAN dan disiplin tinggi yang dipamerkan barisan pemain Vietnam sepanjang Kejohanan Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) wajar dijadikan contoh terbaik kepada pemain negara untuk terus mencipta kejayaan pada masa akan datang.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan