"KITA tak perlu takut kerana kita juga ada kelebihan
tersendiri," kata penjaga gol skuad bawah 23 tahun negara (B-23), Ifwat
Kamal Chek Kassim menjelang pertembungan dengan Iraq dalam saingan Kumpulan C
Kejohanan AFC B-23 di Changshu, China Rabu ini.
Aksi pembukaan menentang skuad juara 2013 itu pasti cukup
mencabar buat skuad kendalian Datuk Ong Kim Swee yang tampil buat kali pertama
di kejohanan berkenaan.
Malah, bahang pertemuan itu mula dirasai pemain negara apabila
pemain Iraq melancarkan perang psikologi dalam usaha untuk mengganggu mental
mereka.
Bagaimanapun, Ifwat menggesa rakan sepasukan supaya terus kekal
fokus tanpa menghiraukan tindak balas pemain lawan di luar padang.
"Mereka cuba menakutkan kami, cuba gertak kami tetapi
sejujurnya, kami tidak takut dengan perkara sebegini, kami tak perlu panik dan
buat seperti biasa sahaja.
"Kami akan buat seperti apa yang jurulatih (Kim Swee)
arahkan, jangan terlalu hormat kepada mereka sebab kita harus sedar Malaysia
juga adalah pasukan terbaik kerana kita mampu layak bermain di pusingan akhir
ini," katanya ketika ditemui pada sesi latihan di sini, hari ini.
Dalam laporan akhbar ini semalam, seorang lagi penjaga gol
negara, Haziq Nadzli mendakwa pemain Iraq cuba mengganggu pemain negara dengan
merenung secara berdepan dan 'buat muka' di hotel penginapan pasukan.
Menurut Ifwat, biarpun Malaysia dianggap pasukan bukan pilihan
dalam saingan kumpulan, namun itu tak bermakna peluang mereka sudah tertutup.
"Kami akan cuba mengutip mata seberapa banyak yang boleh
untuk layak ke pusingan seterusnya. Ia bukan mustahil untuk melakukannya,"
kata tonggak utama Kedah itu.
PENJAGA gol skuad bawah 23 tahun negara
(B-23), Ifwat Kamal Chek Kassim mahu rakan sepasukan terus kekal fokus tanpa
menghiraukan tindak balas pemain lawan di luar padang. - Foto Osman Adnan

Tiada ulasan:
Catat Ulasan