PENTAS Sukan Asia 2018 Jakarta dan Palembang pada Ogos ini
mungkin terpaksa menjadi ‘korban’ bagi misi memburu tempat ke Sukan Olimpik
Tokyo 2020.
Untuk layak ke Tokyo, skuad bawah 23 tahun (B-23) negara perlu
menduduki empat pasukan terbaik pada pusingan akhir Kejohanan B-23 AFC dua
tahun lagi.
Dengan pusingan kelayakan ke pusingan akhir itu akan berlangsung
tahun depan, jurulatih negara Datuk Ong Kim Swee perlu mempersiapkan pasukan
lebih awal.
Antara perancangan yang kini menjadi pertimbangan adalah dengan
memberi pendedahan kepada ramai pemain B-21 beraksi di Sukan Asia tahun ini.
“Kita ada beberapa cadangan seperti membawa pemain berusia 21
tahun sekarang ke Sukan Asia. Tapi kita kena tahu, kita tak boleh meletakkan
apa-apa sasaran. Kalau kita ada sasaran, kita perlu hantar skuad terbaik.
“Jika tiada sasaran, saya lebih rela membawa pemain bawah 21
tahun di mana semua kelab gabungan, harus memberi pelepasan pemain ini. Kita
tak meminta pemain berusia 23 tahun tapi pemain berusia 21 tahun ke bawah
sebagai persiapan kita ke kelayakan 2019,” katanya ketika ditemui di sini, hari
ini.
Skuad B-23 negara membuka mata ramai pihak apabila melakar
sejarah mara ke suku akhir dan hampir melangkah lebih jauh namun tewas 1-2
kepada Korea Selatan di Stadium Kunshan, semalam.
Dengan pencapaian itu, Kim Swee percaya pemain negara sudah
meletakkan satu penanda aras yang tinggi untuk dilepasi dengan aksi Sukan
Olimpik Tokyo menjadi impian selepas kali terakhir layak 38 tahun lalu di
Moscow.
“Walaupun kita bermain dengan baik seperti semalam dengan Korea
Selatan. tapi saya tetap tak berpuas hati kerana kita tak layak ke separuh
akhir.
“Kita tak boleh berhenti setakat sini, secara peribadi sasaran
saya adalah layak ke Sukan Olimpik tapi dengan syarat saya mempunyai persiapan
cukup baik, apa yang perlu saya lakukan adalah menjadi empat pasukan terbaik
(Kejohanan B-23 AFC 2020),” kata Kim Swee.
Jepun
tuan rumah Sukan Olimpik 2020 sudah membuat persiapan awal dengan menghantar
pemain B-20 beraksi di Kejohanan AFC B-23 China biarpun tersingkir di suku
akhir.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan