BERAKHIR sudah perjuangan skuad negara di Kejohanan Bawah 23
(B-23) AFC, di China selepas tewas 1-2 pada aksi suku akhir kepada gergasi
Asia, Korea Selatan semalam.
Walaupun gagal melakar satu lagi kejutan, pencapaian anak buah
Datuk Ong Kim Swee itu tetap membanggakan kerana menukar kisah dongeng kepada
realiti.
Ramai antara kita tidak menyangka sama sekali pemain negara
mampu berada di kelompok lapan pasukan terbaik Asia, apatah lagi bersaing hebat
dengan juara dan naib juara 2013, Iraq dan Arab Saudi serta Jordan dalam
Kumpulan C.
Mental pemain cukup luar biasa kali ini. Biarpun dibelasah Iraq
1-4 pada aksi pembukaan, mereka bangkit apabila terikat 1-1 dengan Jordan dan
menang 1-0 ke atas Arab Saudi untuk melakar sejarah mara ke suku akhir pada
penampilan sulung.
Malah mereka sudah membuang perasaan takut apabila tenang
mengatur permainan, biarpun ketinggalan dengan gol awal Korea Selatan yang
memiliki kelebihan pemain dari segi fizikal, teknikal dan taktikal.
Malah statistik perlawanan jelas membuktikan betapa anak buah
Kim Swee berjaya menyaingi finalis 2016 itu dari setiap sudut termasuk jumlah
percubaan, hantaran dan penguasaan bola.
Mungkin Korea Selatan kendalian Kim Bong-gil menggunakan alasan
kepenatan pemain mengganggu permainan mereka, tapi Malaysia juga mengharungi
jumlah perlawanan sama peringkat kumpulan cuma kelebihan rehat satu hari
sebelum aksi di Stadium Kunshan semalam.
Di sebalik kecemerlangan itu masih ada kelemahan yang perlu
diperbaiki apabila pemain kita kerap dihukum atas kesilapan sendiri.
Malah ketiadaan penyerang yang benar-benar mantap dengan sistem
3-4-3 juga menyaksikan gerakan ke kubu lawan mudah disekat melainkan Safawi
Rasid dan Akhyar Abdul Rasid menggunakan kebolehan individu untuk melakukan
percubaan.
Mungkin jika S Kumaahran tidak cedera dan bersama pasukan, skrip
akan berbeza di sini.
Bagaimanapun prestasi yang dipamerkan pemain muda negara di sini
seakan memberi sinar baru kepada bola sepak negara jika dilihat kepada ranking
Malaysia kini ke-175 dunia dan kegagalan skuad senior mencatat sebarang
kemenangan tahun lalu.
Beberapa pemain seperti Safawi, Akhyar, kapten Adam Nor Azlin,
Irfan Zakaria, Syazwan Andik, Nor Azam Azih, Danial Amier Norhisham, Matthew
Davies dan N Thanabalan sudah boleh berada dalam senarai jurulatih Harimau
Malaya, Tan Cheng Hoe selepas ini.
Malah
12 pemain daripada skuad Kim Swee masih boleh beraksi pada Kejohanan B-23 AFC
dua tahun lagi dan misi mereka juga belum berakhir tahun ini dengan Sukan Asia
Jakarta dan Palembang pada Ogos menjadi satu lagi pentas untuk mereka
memperagakan aksi kelas tinggi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan