SATU keputusan seri dan enam kekalahan sepanjang
tahun 2017 di bawah kendalian ketua jurulatih Nelo Viganda sudah cukup
menggambarkan bahawa prestasi Harimau Malaya dalam keadaan membimbangkan. Lebih
memalukan Malaysia mengulangi rekod terburuk apabila jatuh ke tangga 174 dalam
ranking terbaharu Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA).
Kedudukan itu jatuh empat anak tangga berbanding
170 bulan lalu setelah Malaysia tewas dua kali berturut-turut dengan jaringan
4-1 kepada Korea Utara dalam kempen kelayakan Piala Asia 2019, sekali gus
menyaksikan skuad negara terlepas 13 mata untuk ranking FIFA.
Malaysia sewajarnya mencontohi Thailand dalam
melakukan penstrukturan liga yang jauh lebih kompetitif sehingga berjaya
menjadi teras utama kebangkitan skuad kebangsaan mereka. Buktinya, kita kerap
mendengar nama pasukan mereka seperti Chonburi, Muangthong United dan Buriram
beraksi di Liga Juara-Juara Asia.
Perubahan piramid bola sepak Thailand bermula
pada 2017 apabila 132 pasukan dibahagikan kepada lima divisyen atau dikenali
sebagai League Championship. Liga yang bakal menjadi Divisyen 3 (AIS D2 League)
itu akan diturunkan pangkat menjadi Liga Divisyen 4 dan selepas itu akan
diperkenalkan Liga Divisyen 5 atau dikenali sebagai League 3 pula.
Tahun 2018 memperlihatkan Persatuan Bolasepak
Malaysia (FAM) dan Usahasama Liabiliti Bola Sepak Malaysia (FMLLP) tampil
dengan penstrukturan hampir sama apabila memperkenalkan Liga Divisyen 4 dan
Liga Divisyen Lima sebagai kesinambungan liga bola sepak komuniti dengan liga
profesional negara.
Idea dikemukakan Presiden FAM, Tunku Ismail
Sultan Ibrahim bagi memastikan bola sepak dikembalikan kepada rakyat agar
terlibat secara serius dalam mewujudkan skuad bola sepak negara. Struktur ini
lebih sistematik dan telah lama dipraktikkan di negara kuasa bola sepak dunia
seperti Jerman dan Sepanyol.
Baru-baru ini pasukan Axis-O2, menerusi peluang
penyertaan diberikan FMLLP selaku badan penganjur Liga Malaysia telah mencipta
sejarah tersendiri apabila menjadi pasukan pertama liga amatur menempa slot
untuk bersaing dalam Piala FA musim hadapan setelah menjuarai Selangor Champion
League 2017.
Awal tahun lalu, Asian Football Confederation
(AFC) memperkenalkan kaedah pelesenan kelab yang mana persatuan bola sepak
negara anggota AFC mengeluarkan lesen tersebut tetapi badan induk Asia itu yang
menentukan sama ada sesebuah pasukan itu layak mendapat lesen tersebut.
Lesen berkenaan bermakna pengurusan sedia ada
mampu untuk mengurus tadbir, mempunyai sumber kewangan diperlukan dan tiada
penyalahgunaan dana serta memastikan pemilik lesen memiliki ciri-ciri sesebuah
kelab bola sepak profesional seperti kemudahan, fasiliti, pembangunan akar
umbi.
Kaedah itu bukan sahaja membolehkan sesebuah
pasukan atau kelab layak beraksi di Liga Juara-Juara AFC, tetapi meningkatkan
tahap pengurusan ke arah lebih profesional seperti di Jepun dan Korea Selatan.
Hasil penganjuran liga kompetitif, skuad
kebangsaan Jepun dan Korea Selatan kini memiliki skuad kebangsaan mantap dan
turut menghasilkan pemain berbakat yang kini bermain di kelab Eropah seperti
Okazaki (Leicester City) dan Son Heun-Min (Tottenham Hotspur).
Sementara itu, pengenalan lima pemain import
termasuk seorang dari Asia Tenggara dilihat bakal meningkatkan nilai Liga
Malaysia di peringkat dunia. Kemasukan pemain import juga dijangka dapat
mendorong penajaan daripada pihak luar dan pasukan menerima sekurang-kurangnya
RM6 juta atau RM7 juta bagi tempoh setahun seperti digariskan Presiden FAM.
Diharapkan kehadiran pemain import dapat
membantu penyerang tempatan dalam meningkatkan mutu dan kekuatan jentera
serangan pasukan negara. Kita mahu melihat persaingan sihat merebut tempat
dalam kesebelasan utama dalam kelab supaya pemain tempatan tidak hanya
memanaskan bangku simpanan.
Selain itu kita harap penyerapan lebih ramai
bakat-bakat muda dalam pasukan utama Liga Super dan Liga Perdana dilakukan
secara menyeluruh dan liga tempatan dibangunkan secara global.
MUHAMMAD SHAHRUL NAIM
Nilai, Negeri Sembilan
PAPARAN Utusan Online 13
November 2017.

Tiada ulasan:
Catat Ulasan