CHANGSHU, China 7 Jan. – Walaupun turun selaku
pasukan pilihan dalam Kejohanan Bawah 23 Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC)
namun jurulatih Iraq, Abdul Ghani Shahad enggan memandang rendah terhadap
kemampuan Malaysia.
Skuad Asiad Asia bakal membuka tirai kejohanan
menentang pasukan bimbingan Datuk Ong Kim Swee di Stadium Changshu pada Rabu
ini dan Ghani memberitahu walaupun Iraq melakukan persiapan ringkas namun
mereka tetap meletakkan sasaran untuk memburu trofi kejohanan.
“Persiapan yang kami lakukan untuk menghadapi
kejohanan ini sangat ringkas. Kami hanya mengadakan satu perlawanan
persahabatan sahaja dan tiba di sini tiga hari lalu.
“Walaupun persiapan kami ringkas namun kami
tetap mahu memburu trofi kemenangan dan kami mahu menghadapi perlawanan satu
demi satu. Sekarang kami perlu fikirkan bagaimana mahu mengatasi Malaysia namun
kami tetap fikirkan lawan yang lain.
“Bagi saya kekuatan semua pasukan adalah sama
dan saya fikir setiap pasukan mempunyai peluang yang sama rata. Sebab itu kami
buat persediaan kami untuk menghadapi setiap pasukan sama sahaja,” katanya
ketika ditemui pemberita di hotel penginapan hari ini.
Iraq merupakan pasukan pilihan bagi Kumpulan C
yang dihuni oleh Malaysia, Arab Saudi dan Jordan. Skuad kendalian Ghani itu
beraksi dengan cemerlang dalam kempen kelayakan pada Julai lalu apabila muncul
juara Kumpulan B.
Selain muncul juara kejohanan pada edisi pertama
Iraq turut memenangi tempat ketiga pada dua tahun lalu dan berdasarkan sembilan
perlawanan terakhir mereka skuad Asiad Asia itu hanya tewas sekali, seri tiga
dan selebihnya menang.
Ditanya apakah Iraq boleh menang mudah ke atas
Malaysia yang kali pertama layak menyertai kejohanan tersebut, Ghani berkata
pihaknya menjangkakan akan menerima tentangan sengit.
“Tidak. Kami tidak boleh fikir seperti itu sebab
macam saya cakap setiap pasukan ada peluang sama rata dan saya tidak boleh
pandang rendah terhadap kemampuan lawan.
“Saya ada maklumat mengenai Malaysia dan tahu
mengenai mereka. Saya berharap dapat menghasilkan formasi terbaik untuk
menghadapi Malaysia nanti,” katanya lagi.
Pengendali berusia 49 tahun itu berkata Iraq
tidak mempunyai masalah untuk beraksi dalam keadaan cuaca sejuk malah mereka
hadir ke China dengan kekuatan maksimum.

Tiada ulasan:
Catat Ulasan