CHANGSHU, China 8 Jan. - Biarpun berdepan
serangan psikologi Iraq, namun pengalaman itu tidak menganggu tumpuan pemain
Malaysia menjelang aksi pembukaan Kejuaraan Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC)
Bawah 23 (B-23), Rabu ini, kata penjaga gawang negara, Ifwat Akmal Chek Kassim.
Pasukan negara dijadual menentang Iraq dalam
aksi sulung Kumpulan C di Stadium Changshu, Rabu ini, sebelum bertemu Jordan
dan Arab Saudi.
“Kami tidak takut pun sebab mereka cuba
mengganggu kami di luar padang sebab bagi saya apa yang berlaku dalam padang
perlu diberi keutamaan.
“Pemain Iraq cuba menggertak dan menakutkan kami
tetapi kami tidak takut pun sebab lebih baik kami buat seperti tiada apa-apa
yang berlaku.
“Mereka cuba melancarkan perang psikologi
terhadap kami dengan cara melihat kami membuat muka seperti tidak puas hati
tetapi tidaklah sehingga melanggar bahu. Kami anggap perkara ini seperti
kebudak-budakan.
“Lagi pun, kami memang malas nak layan sebab
jika dilayan semakin menjadi nanti. Tiada sebab untuk kami berasa takut,” katanya
kepada pemberita di Padang Latihan Haiyu hari ini.
Hari ini Utusan Malaysia melaporkan terdapat
segelintir pemain Iraq cuba mengganggu pemain negara apabila ada dalam kalangan
mereka yang merenung Jafri Firdaus Chew dengan cara tidak puas hati namun Ifwat
tampil ke depan untuk mempertahankan rakannya.
Dalam pada itu, Ifwat turut berkata ini bukan
pertama kali dia dan rakan sepasukannya berdepan situasi seperti itu kerana
sebelum ini mereka pernah menghadapinya ketika beraksi di pusingan kelayakan
Kejuaraan AFC B-23 di Bangkok, Thailand pada Julai lalu.
“Jurulatih ada memberitahu agar kami tidak perlu
terlalu hormat kepada mereka walaupun mereka kuat sebab kami juga juga antara
pasukan yang hebat sebab layak ke pusingan akhir.
“Sebelum ini, Indonesia pernah membuat perkara
yang sama terhadap kami namun kami tidak layan mereka. Bagi saya perkara ini
seperti kebudak-budakan,” katanya lagi. - UTUSAN ONLINE
IFWAT AKMAL CHE KASSIM menjalani latihan di Padang Latihan Sekolah Tinggi Changsu, China hari ini. – UTUSAN / AIZZUL A. MAJID
IFWAT AKMAL CHE KASSIM menjalani latihan di Padang Latihan Sekolah Tinggi Changsu, China hari ini. – UTUSAN / AIZZUL A. MAJID

Tiada ulasan:
Catat Ulasan