CHANGSHU, China 8 Jan. -
Saiz badan yang besar serta corak permainan pantas antara kelebihan yang
dimiliki skuad Bawah 23 (B-23) Iraq, namun tonggak pertahanan Malaysia,
Muhammad Adib Zainuddin mengakui sudah mempunyai perancangan tersendiri.
Malaysia berdepan tugas sukar seawal perlawanan
pertama peringkat Kumpulan C Kejuaraan Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) (B-23)
apabila menentang juara 2013, Iraq di Stadium Changshu, Rabu ini.
Begitu pun, Adib yang juga ketua pasukan negara
tidak mahu menjadikan kelebihan yang dimiliki lawan sebagai halangan untuk
mereka memburu kemenangan pertama.
“Iraq bermain dengan pantas serta mempunyai
fizikal yang besar, dan sejujurnya kami memang tidak boleh menandingi mereka
daripada segi saiz badan.
“Bagaimanapun, saya tidak fikir itu akan menjadi
masalah yang terlalu besar. Apa yang penting, mental kena kuat apabila berdepan
Iraq dan jangan hanya kerana mereka lebih sasa dan memiliki rekod lampau yang
bagus, kita mengalah awal.
“Alhamdulillah setakat ini semua persiapan menghadapi
kejohanan berjalan lancar tanpa sebarang masalah. Semua pemain bersaing baik
untuk memburu tempat dalam kesebelasan utama, dan ini perkembangan yang bagus
buat pasukan,” kata Adib kepada Utusan Online di sini hari ini.
Selain muncul juara lima tahun lalu, Iraq yang
digelar Asiad Asia turut menduduki tempat ketiga dalam kejohanan yang sama, dua
tahun lalu dan melayakkan diri ke pusingan akhir kejohanan 2018 selaku juara
Kumpulan B di peringkat kelayakan.
Dalam pada itu, Adib, 22, memberitahu, ada beberapa
pemain Iraq yang dikenal pasti mempunyai keupayaan lebih menonjol berbanding
rakan mereka dan perlu diberi perhatian sepanjang perlawanan Rabu ini.
“Ada beberapa pemain Iraq memiliki prestas hebat
seperti penyerang Ayman Hussein dan pemain tengah, Bashar Resan. Kami perlu
mendengar arahan jurulatih dengan teliti untuk melakukan persiapan terbaik
menghadapi pasukan ini.
“Ayman ada penyudah yang baik dan boleh
menjaringkan gol walaupun mempunyai peluang sedikit, manakala Bashar memiliki
kemampuan melakukan hantaran tepat untuk menggerakkan pasukan mereka,” katanya
lagi. - UTUSAN ONLINE
Tiada ulasan:
Catat Ulasan