KUNSHAN, China 15 Jan. – Skuad negara menerima
tamparan hebat menjelang pertemuan dengan Arab Saudi apabila lima pemain
mengalami kecederaan dan sakit sehingga dikhuatiri tidak dapat diturunkan dalam
perlawanan terakhir peringkat kumpulan Kejohanan Bawah 23 AFC esok.
Malaysia akan bertemu Arab Saudi di Stadium
Kunshan dengan misi mesti menang untuk sekurang-kurangnya mempunyai sedikit
harapan untuk ke peringkat kalah mati dari Kumpulan C tetapi Datuk Ong Kim Swee
dijangka tidak dapat menurunkan Safawi Rasid, Akhyar Rashid, Dominic Tan,
Syamer Kutty Abba dan Syahmi Safari.
Safawi, Dominic dan Akhyar merupakan pemain
dalam kesebelasan utama ketika Malaysia kalah kepada Iraq dan seri dengan
Jordan dalam dua perlawanan pertama mereka di peringkat awal ini dan kehilangan
mereka pastinya memberi kesan kepada pasukan.
Bagaimanapun Kim Swee menegaskan dia tidak
berasa bimbang dan sudah memiliki calon untuk mengisi posisi yang akan
dikosongkan ketiga-tiga pemain tersebut sekiranya mereka tidak dapat diturunkan
esok.
“Dominic mendapat hentakan di bahagian paha
manakala Safawi kekejangan dan hentakan dan Akhyar cedera di lutut. Saya tidak
dapat memastikan sama ada mereka dapat diturunkan esok. Semuanya bergantung
kepada keadaan.
“Selain itu, dua pemain lain iaitu Syamer dan
Syahmi demam dan saya perlu memantau perkembangan mereka terutamanya dari segi
kesihatan.
“Saya tidak risau apabila berdepan keadaan
seperti ini kerana kita ada pemain lain. Saya ada 23 pemain dan mereka mampu
beraksi kalau diturunkan sebagai kesebelasan utama,” katanya kepada pemberita
di Pusat Arena Aktiviti Sivik Kunshan hari ini. – utusan
Ketika ditanya sekiranya penyerang Johor Darul
Ta’zim (JDT), Safawi tidak dapat diturunkan, Kim Swee berkata beliau mempunyai
pilihan untuk menggantikannya dengan sama ada Hadi Fayyadh Abdul Razak atau R.
Kogileswaran, manakala N. Thanabalan masih cedera di bahagian hamstring.
Keempat-empat pasukan dalam Kumpulan C, yang
kini diterajui Iraq, masih berpeluang ke suku akhir berikutan kejayaan Malaysia
mengikat Jordan sebelum ini untuk menjadikan persaingan semakin mendebarkan.
Bagaimanapun, Kim Swee tidak berminat untuk
mengulas panjang mengenai debaran yang dirasakannya dan mengenai peluang
skuadnya untuk mencipta sejarah dalam penampilan pertama mereka dalam sejarah
kejohanan.
“Saya tidak mahu menyentuh tentang sejarah dan
apa yang akan kita capai kerana apa yang penting kita hadapi perlawanan esok
seperti dua pertemuan terdahulu.
“Penting untuk setiap pemain tidak meletakkan
tekanan ke atas diri mereka. Mereka perlu menunjukkan persembahan seperti
ketika menentang Jordan. Ini adalah peluang terbaik untuk pemain mencipta
sejarah dan mencapai kejayaan peribadi mereka,” katanya yang pernah membantu
Malaysia memenangi pingat emas Sukan SEA edisi 2011 dan perak pada 2017.
Malaysia menghuni anak tangga tercorot kumpulan
dengan satu mata manakala Arab Saudi di tempat ketiga, berkongsi dua mata
bersama Jordan manakala Iraq dengan empat mata.
Jika berjaya menumpaskan Arab Saudi, bermakna
Malaysia memberikan tekanan ke atas Jordan yang akan bertemu Iraq dalam
perlawanan selepas itu. – UTUSAN

Tiada ulasan:
Catat Ulasan