Tagih semangat juang tinggi untuk kejutkan Korea
Selatan
KUNSHAN, China – Ketua
jurulatih skuad bawah 23 tahun (B-23) negara, Datuk Ong Kim Swee mendedahkan
beliau tidak memiliki ‘senjata rahsia’ menjelang aksi suku akhir Kejuaraan
Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) B-23 bertemu Korea Selatan di Stadium Kunshan
hari ini.
Sejak memegang jawatan jurulatih skuad muda
negara pada 2009, Kim Swee antara individu yang mencungkil bakat-bakat baharu
antaranya Muhammad Nazmi Faiz Mansor, Wan Zack Haikal Wan Nor, Irfan Fazail,
Safawi Rasid dan terbaharu Muhammad Akhyar Abdul Rashid dalam setiap kejohanan
berkompetitif di peringkat Antarabangsa.
Akhyar mencuri tumpuan peminat-peminat
bola sepak tempatan selepas menunjukkan persembahan meyakinkan ketika seri 1-1
bertemu Jordan dan kemenangan 1-0 ke atas Arab Saudi dalam aksi Kumpulan C di
Stadium Changshu dan Kunshan, minggu lalu.
Pengendali dari Melaka itu memberitahu,
kepercayaan sesama pemain dan semangat berpasukan adalah rahsia kejayaan skuad
muda negara dalam kempen Kejuaraan AFC B-23 tahun ini.
“Tiada perkara atau senjata rahsia seperti
kita tahu para pemain berjuang sebagai satu pasukan. Amat baik untuk kita dapat
pemain-pemain yang boleh menukar situasi contohnya seperti Safawi atau Akhyar.
“Namun kalau melihat dari segi jaringan
yang kita lakukan, bukan sahaja penyerang tetapi pemain tengah (Azam Nor Azih)
dan Adam Nor Azlin sebagai pemain pertahanan membuktikan pernah menjaringkan
gol dalam perlawanan-perlawanan penting.
“Jadi, bagi saya yang penting adalah
semangat berpasukan, tidak kira siapa menjaringkan gol. Apa yang penting kita
capai keputusan yang kita inginkan,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di
Stadium Kunshan semalam.
Dalam perkembangan sama,
Kim Swee tidak mahu membandingkan keupayaan skuad Korea Selatan
yang mana kali terakhir pertemuan kedua-dua pasukan menyaksikan Korea Selatan
meraih kemenangan 3-0 dalam aksi Sukan Asia pada 2014.
“Kita tidak boleh membandingkan empat tahun
lalu ketika bermain dengan pasukan Korea Selatan kerana ketika itu mereka
menjadi tuan rumah.
“Sudah tentu itu berbeza dan kali ini di
gelanggang neutral di mana sehingga ke tahap ini (suku akhir) saya percaya kita
mampu menyaingi mereka.
“Kita tidak perlu memikirkan tentang apa
keputusan yang kita dapat sebelum ini dan pemain harus kekal fokus. Layak ke
peringkat suku akhir adalah satu pencapaian cukup baik dan misi kita belum
habis kerana) kita ingin mencapai keputusan positif,” ujarnya.
KIM
SWEE (dua dari kiri) mahu para pemain memberi komitmen tinggi sehingga wisel
penamat pada aksi suku akhir menentang Korea Selatan di Kunshan hari ini.
KIM SWEE (kanan) bersalaman dengan ketua
jurulatih Korea Selatan, Kim Bong-gil di Stadium Kunshan semalam.
PARA pemain negara perlu mempamerkan semangat juang tinggi
pada aksi suku akhir menentang Korea Selatan dalam Kejuaraan AFC B-23 di
Stadium Kunshan hari ini.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan