Mampu jadi pasukan pembunuh gergasi jika
bermain penuh keyakinan
KUNSHAN, China - Ketua
jurulatih skuad bawah 23 tahun (B-23) negara, Datuk Ong Kim Swee mengakui
terkejut dengan aksi anak-anak buahnya yang menunjukkan keyakinan tinggi
biarpun tewas 1-2 di tangan Korea Selatan pada aksi suku akhir Kejuaraan
Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) B-23 di Stadium Kunshan semalam.
Tanpa berselindung, Kim Swee meramalkan
skuad muda negara memiliki potensi untuk melangkah lebih jauh di pentas Asia
selepas berjaya memberi tekanan kepada pasukan bimbingan Kim Bong-gil yang
terpaksa bermandi peluh sebelum berjaya meraih kemenangan.
Apa yang pasti, pengendali kelahiran Melaka
itu menyifatkan skuad muda negara mampu menjadi pasukan pembunuh gergasi jika
berjaya beraksi de–ngan penuh keyakinan dan tidak terlalu menghormati pasukan
lawan pada masa akan datang.
“Mungkin satu kekecewaan hari ini
(semalam), namun kita memberi saingan dan membuktikan kita boleh bermain bola
sepak serta memiliki kekuatan.
“Apabila kita melihat perlawanan tadi
(semalam), kita seolah-olah bermain dengan pasukan-pasukan dari Asia Tenggara
dan kita tidak sedar bahawa itu adalah pasukan Korea Selatan.
“Jadi apabila kita tidak mempunyai rasa
kegugupan, kita tidak rasa pihak lawan memiliki kelebihan kerana kita mampu
membuktikan. Tetapi malangnya kita gagal mendapatkan keputusan positif.
Namun, saya harus beri pujian kepada semua
pemain kerana mereka membuktikan mampu bersaing di peringkat tertinggi,”
katanya kepada Kosmo!
Ahad selepas tamat perlawanan di Stadium Kunshan semalam.
Dalam aksi itu, Cho Jae-Wan menghukum kelekaan
pasukan negara apabila menjaringkan gol terpantas kejohanan edisi kali ini
dengan catatan 11.24 saat apabila pemain tengah itu berjaya merembat bola
menewaskan penjaga gol negara, Haziq Nadzli.
Pemain gantian, N. Thanabalan berjaya
menyamakan kedudukan pada minit ke-67 tetapi Korea Selatan mengesahkan kemaraan
mereka ke slot separuh akhir hasil jaringan daripada Han Seung-Gyu pada minit
ke-85.
Dalam perkembangan sama, Kim Swee tidak
mahu mengatakan kejayaan mara ke suku akhir Kejuaraan AFC B-23 di China itu
sebagai permulaan baharu bola sepak tempatan.
Ini kerana, Kim Swee, 47,
menegaskan, pasukan negara perlu bekerja keras untuk memperbaiki prestasi
sekali gus mengejar pasukan-pasukan gergasi lain seperti Jepun dan Korea
Selatan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan