ALOR SETAR: Kelincahan pemain muda negara, Akhyar Rashid, 18,
yang beraksi di Kejohanan Bawah 23 Tahun Asia (AFC) baru-baru ini menjadi
perhatian kelab rantau Asia.
Malah maklumat dalam laman media sosial juga turut mengaitkan
nama Akhyar dengan kelab ternama Thailand, Buriram United.
Menurut abangnya, Rafdi Rashid yang juga bekas pemain bola sepak
Kedah, mengesahkan ada wakil atau ejen berminat untuk berunding dengan Akhyar
mengenai tawaran ke kelab Thailand, Jepun dan juga Indonesia seperti dihebahkan
sebelum ini.
"Ada ejen menghubungi saya dan berhasrat berunding lebih
lanjut mengenai peluang Akhyar menyertai kelab sekitar Asia namun masih di
peringkat awal," katanya.
Bagaimanapun, Rafdi yakin
Akhyar yang merupakan pemain sayap lincah Kedah akan memberi sepenuh perhatian
kepada kelabnya iaitu Kedah FA terlebih dahulu sebelum membuat apa-apa
keputusan untuk melangkah keluar ke kelab lain.
Sebarang keputusan akan
dirujuk kepada Persatuan Bolasepak Kedah (KFA) terlebih dahulu kerana Akhyar
mempunyai kontrak dua tahun bermula 2017 dan sebarang perbincangan perlu
membawa kebaikan kepada kedua-dua belah pihak.
Akhyar menyertai skuad
Piala Belia Kedah pada 2014 hingga 2015 dan kemudian bersama skuad Piala
Presiden Kedah pada 2016 sebelum diserapkan ke skuad utama Kedah musim 2017.
Beliau pernah dipanggil
menyertai skuad kebangsaan Bawah 17 pada 2015, Bawah 19 (2017) dan terkini
bersama skuad B-23 di China.ABANG kepada pemain sayap Kedah, Akhyar Rashid mengesahkan ada wakil atau ejen berminat untuk berunding mengenai tawaran ke kelab Thailand, Jepun dan juga Indonesia seperti dihebahkan sebelum ini. - Foto Mohd Fadli Hamzah
Tiada ulasan:
Catat Ulasan