KUALA LUMPUR 23 Jan. - Nama pemain muda Akhyar Abdul Rashid melonjak naik ketika ini selepas mempamerkan aksi meyakinkan dalam Kejohanan Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) Bawah 23 tahun (B-23) telah menarik perhatian beberapa kelab termasuk dari Jepun.
Keadaan itu bagaimanapun tidak sedikitpun membuat pemain kelahiran Kedah itu mendabik dada, sebaliknya lebih bersemangat untuk menampilkan aksi lebih baik dan cuba memperbaiki kekurangan dirinya.
“Langsung tidak terdetik dalam hati saya untuk mempunyai perasaan bangga atau meninggi diri kerana apa yang saya lakukan ketika ini adalah kerana minat mendalam saya kepada bola sepak dan mahu memberi sumbangan kepada negara.
“Ayah saya sendiri sering menasihati saya agar sentiasa merendah diri dan tidak mudah melupakan asal usul. Yang penting apabila diberi kepercayaan oleh jurulatih, saya perlu memberi yang terbaik,” katanya di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), setibanya bersama pasukan dari Shanghai, China malam tadi.
Dalam masa sama, Akhyar mengakui prestasi pasukan-pasukan Asia lebih ke hadapan berbanding skuad negara dalam kejohanan di China itu dan Malaysia dilihat masih belum cukup bersedia untuk mengharungi saingan di peringkat antarabangsa.
Namun, dia yakin sekiranya mereka didedahkan lebih awal dengan perlawanan di peringkat antarabangsa tidak mustahil skuad bimbingan Datuk Ong Kim Swee mampu mempamerkan aksi lebih baik.
“Secara keseluruhan saya tidak berpuas hati dengan permainan saya kerana masih gugup. Kekurangan pengalaman beraksi di pentas antarabangsa membuatkan saya cepat hilang fokus.
“Kehilangan tenaga dan cepat penat antara pengalaman saya peroleh. Saya akui jika tidak ada pengurusan permainan yang baik di dalam padang sudah pasti pasukan lawan akan menguasai perlawanan.
“Saya akan berusaha untuk meningkatkan stamina dan gaya permainan saya.
“Secara keseluruhan saya berbangga, meskipun beraksi dalam tekanan kami mampu berjaya mara ke peringkat suku akhir dan ini satu pengalaman yang cukup berguna,” ujarnya.
Sementara itu, kelincahan pemain berusia 18 tahun itu turut menarik perhatian kelab rantau Asia, apabila dia dikaitkan dengan juara empat kali Liga Thailand, Buriram United.
Abangnya yang juga bekas pemain Kedah, Rafdi Abdul Rashid mengesahkan beberapa wakil kelab dan ejen pemain dari Thailand, Indoneia malah Jepun telah menyatakan minat untuk mendapatkan khidmat Akhyar seperti dihebahkan sebelum ini.
“Ada ejen menghubungi saya dan berhasrat berunding lebih lanjut mengenai peluang Akhyar menyertai kelab sekitar Asia namun segalanya masih di peringkat awal,” katanya.
Bagaimanapun, Rafdi yakin Akhyar yang merupakan pemain sayap lincah Kedah akan memberi sepenuh perhatian kepada pasukan Lang Merah terlebih dahulu.
AKHYAR ABDUL RASHID dikatakan menarik perhatian beberapa kelab termasuk dari Jepun dan Thailand dengan aksi hebatnya di China.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan