KUALA LUMPUR 23 Jan. - Datuk Ong Kim Swee mendedahkan bahawa dia telah merangka beberapa pelan untuk skuad bawah 23 tahun negara meneruskan kesinambungan prestasi mereka selepas melakar sejarah mara ke suku akhir Kejohanan AFC B-23.
Katanya, pelan untuk mengembalikan semula kegemilangan skuad negara di rantau Asia akan dibincangkannya dalam pertemuan dengan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) Tunku Ismail Sultan Ibrahim.
Ketua jurulatih skuad bawah 23 tahun itu juga yakin kesinambungan kejayaan anak buahnya dalam kempen di China itu mampu diteruskan hingga Piala Asia 2023.
“Kita tidak boleh berhenti setakat di sini sahaja ataupun bersikap berpuas hati. Saya perlu melihat apa jua aspek yang perlu dibaiki.
“Untuk tempoh empat tahun akan datang, sebahagian daripada mereka (pemain) ini mungkin akan menjadi pemain utama dalam skuad senior bagi menghadapi kempen Piala Asia tetapi untuk memastikan kita berjaya, segala perancangan harus bermula dari sekarang.
“Saya akan menghadap Tunku Presiden FAM untuk berbincang secara terperinci mengenai program-program akan datang. Selain itu saya turut akan mengadakan perbincangan bersama pihak pengurusan,” katanya ketika ditemui di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) sekembalinya bersama pasukan dari China malam tadi.
Skuad B-23 negara mencipta sejarah tersendiri apabila mara ke suku akhir saingan Kejuaraan AFC B-23 selepas menewaskan Arab Saudi dalam perlawanan terakhir kumpulan C untuk berdepan Korea Selatan.
Namun, skuad negara tewas tipis 1-2 dalam perlawanan yang berlangsung pada Sabtu lepas di Stadium Kunshan.
Kim Swee tidak mahu tenggelam dengan pujian daripada orang ramai ekoran kejayaan anak buahnya, sebaliknya mengakui skuad bimbingannya masih mempunyai kelemahan dan ruang yang perlu dibaiki untuk kemajuan mereka pada masa depan.
Pada masa sama, Kim Swee juga mengingatkan peminat dan pemainnya bahawa pencapaian memasuki kelompok lapan terbaik dalam kejohanan yang akan berakhir pada Sabtu itu tidak menjadikan mereka sebagai pemain terbaik pada ketika ini.
“Kita masih mempunyai ramai pemain berumur 23 tahun ke atas yang berkualiti dan kita tidak boleh mengetepikan mereka begitu sahaja. Walaupun skuad B-23 menunjukkan persembahan yang baik tetapi masih banyak lagi yang perlu kita perbaiki,” katanya.
Sehubungan itu Kim Swee berharap pemain-pemainnya dapat membuktikan sesuatu untuk mendapat peluang bermain apabila kembali ke pangkuan pasukan kelab masing-masing bagi mengharungi saingan Liga Malaysia musim ini.
“Mereka harus berusaha (merebut tempat dalam kesebelasan utama) dan tidak boleh menyalahkan sesiapa. Bagi saya jika saya menandatangani kontrak dengan mana-mana pihak, saya harus berusaha (memikat jurulatih), bukan hanya untuk mendapatkan keselesaan,” tegasnya.PEMAIN negara disambut ahli keluarga dan peminat di KLIA, Sepang semalam sekembalinya mereka daripada Kejohanan AFC B-23 di China. - UTUSAN/MOHD. NOOR MAT AMIN
Tiada ulasan:
Catat Ulasan