PENYERANG lincah, Akhyar Rashid percaya mereka kini hanya
selangkah untuk mencipta sejarah mara ke suku akhir Kejohanan AFC Bawah 23
Tahun dengan Arab Saudi menjadi halangan terakhir dalam kempen Kumpulan C di
Stadium Kushan, Selasa ini.
Pemain berusia 18 tahun itu mencuri tumpuan dengan mempamerkan
aksi pemain terbaik perlawanan ketika skuad kendalian Datuk Ong Kim Swee
mengikat Jordan 1-1 pada aksi kedua semalam sekali gus menghidupkan peluang
mereka merebut salah satu slot ke suku akhir.
“Saya amat berpuas hati dengan persembahan semalam sebab dapat
mengikat Jordan seri satu sama. Semua pemain memberikan aksi 100 peratus dan
walaupun kami ketinggalan, kami tak cepat mengalah.
“Untuk berdepan Arab Saudi, saya harap kami akan bagi yang
terbaik, kami ada peluang ke suku akhir jadi kena fokus,” katanya ketika
ditemui hari ini.
Akhyar yang hanya masuk selaku pemain gantian ketika Malaysia
tewas 1-4 di tangan juara 2013, Iraq pada perlawanan pertama Rabu lalu membalas
kepercayaan Kim Swee apabila mengambil tempat N Thanabalan yang mengalami
hamstring dalam kesebelasan utama menentang Jordan.
Kelincahan dan kepantasan pemain paling muda di padang itu sukar
dibendung pertahanan Jordan hingga dia dikasari untuk Malaysia dihadiahkan
sepakan penalti pada minit ke-39 yang disempurnakan oleh Safawi Rasid.
Malah Akhyar hampir menghadiahkan gol kemenangan buat skuad
negara ke atas pasukan yang menduduki tangga ketiga 2013 itu namun percubaannya
pada minit ke-66 terkena tiang.
“Sangat kecewa sebab kalau saya berjaya menyempurnakan peluang
itu, kami mendahului 2-1 dan situasi akan jadi lain tapi tak ada rezeki untuk
saya dan pasukan,” kata bintang Kedah itu.
Akhyar
dikeluarkan pada minit ke-80 kerana kecederaan namun dia mengakui tidak terlalu
serius dan bersedia untuk beraksi menentang Arab Saudi.

Tiada ulasan:
Catat Ulasan