SAINGAN Kumpulan C Kejohanan AFC Bawah 23 Tahun (B-23) terus
terbuka apabila pasukan pilihan Iraq dan Arab Saudi hanya mencatat keputusan
seri 0-0 dalam perlawanan kedua di Stadium Changshu, China hari ini.
Satu mata itu membolehkan Iraq juara 2013 mendahului kumpulan
dengan empat mata selepas dua perlawanan manakala Arab Saudi berkongsi dua mata
dengan Jordan yang seri 1-1 menentang Malaysia dalam satu lagi perlawanan.
Bagi
jurulatih Iraq, Abdul Ghani Shahad, saingan merebut dua tempat ke suku akhir
masih terbuka termasuk Malaysia yang mempamerkan peningkatan selepas kalah 1-4
di tangan anak buahnya Rabu lalu.
“Pasukan mana yang layak ke pusingan seterusnya hanya akan
diketahui pada perlawanan terakhir. Saingan masih sengit dan Malaysia juga
masih bersaing dalam kumpulan ini.
“Hari ini pemain kami beraksi bukan di tahap sebenar terutama di
bahagian serangan. Kami akan segera melupakan dua perlawanan yang dilalui ini
dan fokus kepada perlawanan seterusnya menentang Jordan (Selasa ini),” katanya
dalam sidang media selepas perlawanan hari ini.
Sementara bagi jurulatih Arab Saudi pula, Daniel Edgardo Teglia
mengharapkan prestasi lebih baik anak buahnya apabila berdepan skuad kendalian
Datuk Ong Kim Swee pada perlawanan terakhir di Kushan, Selasa ini.
“Perlawanan dengan Iraq agak seimbang, kami mengawal permainan
dan ada peluang menjaringkan gol. Pemain saya cuba mengelak daripada melakukan
kesilapan seperti yang berlaku ketika seri 2-2 dengan Jordan sebelum ini.
“Kami
perlu bersedia untuk berdepan Malaysia, kami harus menghormati setiap lawan
kami,” katanya.

Tiada ulasan:
Catat Ulasan