Komentar
KEPUTUSAN seri 1-1 dengan Jordan pada aksi kedua Kumpulan C
Kejohanan Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) Bawah 23 (B-23) Tahun semalam, bukan
sesuatu yang mengejutkan dilakukan oleh skuad muda negara.
Ia bukan peningkatan mendadak, sebaliknya anak buah Datuk Ong
Kim Swee itu hanya lebih berdisiplin dan tidak banyak melakukan kesilapan yang
mengundang padah seperti ketika tumpas di tangan Iraq 1-4 pada aksi pembukaan
di Stadium Changshu.
Pemain negara banyak belajar daripada kekalahan pertama dan ternyata
satu gol ketika menentang Iraq itu cukup penting dalam kebangkitan pemain
meskipun dari segi keputusan jaringan itu tidak mengubah apa-apa.
Jaringan Safawi Rashid ke atas Iraq itu adalah pencetus
keyakinan kepada dia dan rakan sepasukan bahawa jika mereka boleh membolosi
gawang juara 2013 itu, mereka juga boleh melakukannya ke atas Jordan dan
mana-mana pasukan dalam kempen pusingan akhir ini.
Keyakinan itu diterjemahkan di dalam padang apabila mereka tidak
gentar mengatur lebih banyak serangan khususnya pada separuh masa kedua.
Malah sistem 3-4-3 yang diterapkan oleh Kim Swee nampak semakin
serasi dengan pemain yang cuba bermain corak hantaran pendek cuma perlu lebih
tenang apabila pasukan lawan memberikan tekanan tinggi.
Aspek yang perlu ditingkatkan adalah penyudah lebih tajam
apabila menyaksikan dua peluang terbaik Akhyar Abdul Rashid dan Matthew Davies
terlepas selepas Safawi Rasid menyempurnakan sepakan penalti untuk mengikat
Jordan yang seri 2-2 dengan Arab Saudi pada aksi pembukaan.
Melihat kepada dua keputusan awal, benteng pertahanan yang
diterajui kapten Adam Nor Azlin belum benar-benar ampuh dan bahagian serangan
tidak boleh mensia-siakan peluang berdepan Arab Saudi di Kushan, Selasa ini
bagi mengelak pasukan lebih tertekan.
Akhyar membuktikan usia bukan penghalang apabila mencuri tumpuan
dengan kelincahannya tetapi kita jangkakan Arab Saudi akan mengerah pemainnya
merantai pergerakan pemain berusia 18 tahun itu nanti.
Ia pencapaian baik Malaysia apabila menjadi pasukan pertama dari
Asia Tenggara yang mengutip mata pada pusingan akhir ini yang turut disertai
Thailand dan Vietnam.
Namun, itu bukan kejayaan yang kita mahukan sebaliknya, pemain
negara berpeluang untuk melakar sejarah mara ke suku akhir pada penampilan
pertama dengan syarat mengutip mata penuh pada aksi terakhir Kumpulan C.
Ia
bukan tugas mudah berdepan Arab Saudi, naib juara edisi pertama 2013, namun
bukan juga mustahil andai ketenangan, keyakinan dan semangat ditampilkan pemain
tonggak masa depan negara ini.

Tiada ulasan:
Catat Ulasan