SKUAD juara 2013, Iraq akan turun beraksi dengan misi membenam
Malaysia dalam perlawanan pertama Kumpulan C Kejohanan Konfederasi Bolasepak
Asia (AFC) Bawah 23 (B-23) Tahun di Stadium Changshu, China esok.
Melihat kepada reputasi yang dimiliki skuad kendalian Abdul
Ghani Shahad itu, tiada sebab untuk mereka tidak dapat meraih tiga mata dalam
aksi pembukaan kumpulan sebelum berdepan Arab Saudi dan Jordan.
Menurut Kapten Iraq, Bashar Resan Bonyan, meskipun perlawanan
pertama biasanya sulit buat mana-mana pasukan namun kemenangan amat dicari
dalam usaha layak ke suku akhir.
“Perlawanan pertama selalunya sukar, Malaysia pasukan yang bagus
dan kami sudah tiba lima hari di China untuk mempersiapkan diri.
“Semua pemain sudah bersedia, Insya-Allah tak ada pemain yang
cedera dan kami memerlukan kemenangan untuk rakyat Iraq,” katanya pada sesi
latihan rasmi hari ini.
Iraq negara yang masih dilanda konflik, menduduki tempat ketiga
dalam edisi terakhir di Qatar dua tahun lalu dan diletakkan selaku pasukan
pilihan Kumpulan C di pusingan akhir selepas muncul juara Kumpulan B pada
pusingan kelayakan.
Bashar, 21, yang berasal dari Baghdad dan kini mewakili kelab
Persepolis percaya, semua pemain sudah bersedia meskipun kehilangan dua tonggak
termasuk penjaring terbanyak pusingan kelayakan, Aymen Hussin yang digantung
dua perlawanan.
“Kami
ada tiga, empat pemain yang bermain dengan skuad kebangsaan Iraq, kami juga
pernah beraksi di Sukan Olimpik Brazil, menjuarai Kejohanan AFC dan menduduki
tempat ketiga pada 2016. Jadi kami mahu ke final kali ini,” katanya.

Tiada ulasan:
Catat Ulasan