JURULATIH Iraq, Abdul Ghani Shahad tidak panik untuk berdepan
Malaysia dalam aksi pembukaan Kumpulan C Kejohanan AFC Bawah 23 Tahun (B-23) di
Stadium Changshu, China esok meskipun kehilangan dua tonggak utama.
Penjaring terbanyak pusingan kelayakan Julai tahun lalu di
Riyadh, Arab Saudi, Aymen Hussein yang meledak enam gol digantung dua
perlawanan kerana menerima kad merah ketika menentang pasukan tuan rumah
manakala pemain tengah, Ahmad Mohsen Jaber digantung satu perlawanan kerana
mengumpul dua kad kuning.
Bagaimanapun, Abdul Ghani yang membimbing pasukan itu menduduki
tempat ketiga pada Kejohanan AFC B-23 di Qatar pada 2016 percaya ketiadaan dua
pemain berkenaan tidak memberi banyak kesan kepada persiapan mereka berdepan
Malaysia.
“Kami ada 23 pemain dan semua pemain sudah bersedia untuk
beraksi. Kami sudah mempersiapkan semua pemain dalam perlawanan tahap tinggi
jadi tiada masalah apabila kami tiada dua pemain ini.
“Kami berjaya memenangi kejohanan ini pada edisi pertama dan
menduduki tempat ketiga selepas itu jadi kali ini kami mahu terus memperbaiki
pencapaian meskipun kami tahu, peluang semua pasukan dalam kumpulan ini
seimbang,” katanya dalam sidang media hari ini.
Iraq hadir dengan reputasi hebat selepas muncul juara pada 2013
menewaskan Arab Saudi 1-0 pada final di Oman dan menduduki tempat ketiga pada
edisi 2016 di Qatar.
Anak buah Abdul Ghani hanya kalah sekali dalam sembilan
perlawanan tahun lalu, tewas 0-1 kepada Qatar dalam aksi persahabatan pada
Disember dan menang semua tiga perlawanan pusingan kelayakan mengatasi
Afghanistan (8-0), Bahrain (2-1) dan Arab Saudi (2-0).
Iraq turut menewaskan satu lagi pasukan pencabar Kumpulan C di
kejohanan kali ini, Jordan 1-0 dalam aksi persahabatan Julai lalu.
Abdul Ghani, yang pernah membimbing kelab Naft Al-Wasat muncul
juara Liga Premier Iraq 2014/2015, meletakkan harapan tinggi untuk anak buahnya
meraih tiga mata dalam perlawanan esok.
“Kami
hanya memberi fokus dalam mempersiapkan pasukan kami sendiri. Kami menghormati
Malaysia kerana mereka mencatat keputusan baik pada pusingan kelayakan dan
melakukan persediaan rapi. Tapi saya berharap kami dapat meraih tiga mata
esok,” katanya.

Tiada ulasan:
Catat Ulasan