KEJAYAAN pasukan Greece menjuarai Kejohanan Eropah 2004 di
Portugal seharusnya menjadi inspirasi kepada skuad bawah 23 tahun negara (B-23)
untuk melakar kejutan di Kejohanan AFC B-23 di Changshu, China bermula esok.
Skuad negara kendalian Datuk Ong Kim Swee yang dianggap pasukan
kerdil dalam kempen Kumpulan C, bakal bertemu juara 2013 dan pemenang tempat
ketiga 2016, Iraq di Stadium Changsu dalam perlawanan pertama.
Mungkin ramai tidak meletakkan harapan tinggi buat Malaysia yang
tampil buat kali pertama di kejohanan ini apatah dua lagi pencabar, Arab Saudi
dan Jordan juga memiliki rekod baik apabila muncul naib juara dan tempat ketiga
pada edisi pertama lima tahun lalu.
Bagaimanapun seperti Greece yang langsung tidak diberikan
harapan pada Kejohanan Eropah 2004, Kim Swee juga mengharapkan mereka mampu
melakukan kejutan.
“Kita datang ke sini bukan saja mengambil bahagian, yang
mustahak apabila kita keluar pada setiap perlawanan ini, saya harap kita akan
keluar dengan satu kejayaan dan pada masa yang sama pemain-pemain harus ambil
kesempatan ini untuk belajar dalam semua perlawanan yang kita lalui,” katanya
ketika ditemui selepas sidang media sebelum perlawanan itu, hari ini.
Kim Swee, bekas jurulatih kebangsaan mempertaruhkan sebilangan
besar pemain yang meraih pingat perak Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 apabila hanya
membawa masuk tujuh muka baharu daripada 23 pemain.
Dengan cuaca sejuk yang bakal menjadi antara cabaran buat anak
buahnya, Kim Swee percaya mereka sudah bersedia untuk turun menentang Iraq.
“Kita tak nafikan Iraq pasukan yang hebat, mereka memiliki rekod
baik di kejohanan remaja dan senior. Pemain kami perlu bermain lebih daripada
biasa untuk bersaing dengan Iraq. Saya percaya dengan pendekatan taktikal yang
betul mungkin kami boleh mendapat keputusan positif,” katanya.
Tanpa sebarang kecederaan menimpa pemainnya, Kim Swee juga boleh
menarik nafas lega apabila dua tonggak utama termasuk penyerang berbisa Iraq,
Aymen Hussein yang meledak enam gol pada pusingan kelayakan dan Ahmad Mohsen
Jaber tidak dapat beraksi esok kerana digantung perlawanan.
“Pasukan
Iraq mempunyai ramai pemain-pemain yang berkualiti seperti yang saya katakan.
Individu-individu tertentu yang membezakan pasukan-pasukan dari Timur Tengah
ini, tanpa dua pemain ini saya percaya mereka mampu beri tentangan,” jelas Kim
Swee.

Tiada ulasan:
Catat Ulasan