CHANGSHU, China 10 Jan. -
Walaupun dibelasah 4-1 oleh Iraq dalam aksi pembukaan Kumpulan C Kejuaraan
Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) Bawah 23 (B-23), namun jurulatih skuad B-23
negara, Datuk Ong Kim Swee belum mengangkat bendera putih.
Kim Swee berkata, masih
terdapat dua perlawanan yang perlu diharungi selepas ini dan peluang untuk
layak ke pusingan suku akhir kejohanan masih terbuka dan pada masa sama beliau
mengakui kesilapan mudah yang dilakukan pemain telah menyebabkan gawang pasukan
dibolosi empat kali.
ONG
KIM SWEE
“Kami kalah kepada
pasukan yang lebih bagus dan Iraq seimbang di semua bahagian. Kami cuba memberi
saingan namun kami bolos dua gol mudah.
“Sudah tentu saya sedih
melihat keputusan tewas 1-4 dengan dua gol dilepaskan disebabkan kesilapan
mudah pemain saya sendiri dan perkara ini berlaku apabila pemain lambat
mendapat keyakinan dan selepas mereka percaya kepada diri sendiri pemain mula
memberi saingan. Kami masih boleh bersaing cuma perlu lebih berdisiplin.
“Ini baru satu
perlawanan dan saya tidak akan mengaku kalah. Saya perlu mengambil perkara
positif daripada permainan dan saya perlu menganalisis semula permainan kami
untuk menghadapi lawan seterusnya,” katanya kepada pemberita selepas perlawanan
di Stadium Changshu hari ini.
Dalam perlawanan
tersebut, gol Malaysia dibolosi seawal minit keenam menerusi tandukan Mohammed
Khalid Jaffal Al-Jumaili sebelum Amjed Attwan Kadhim meledak gol kedua pada
minit ke-28 selepas Syazwan Andik Mohd. Ishak gagal mengeluarkan bola dengan
sempurna daripada kawasan kotak penalti.
Kealpaan benteng
pertahanan Malaysia terus dihukum oleh anak-anak buah Abdul Ghani Shahad
apabila Alaa Ali Mhawi menjaringkan gol ketiga pada minit ke-57 sebelum Hussein
Al-Saedi meledak gol keempat pada minit ke-81 apabila bijak memanfaat kesilapan
dilakukan oleh pemain tengah negara, Nor Azam Abdul Azih. Gol saguhati Malaysia
diperoleh menerusi jaringan Safawi Rasid pada minit ke-79.
Begitupun, Malaysia
berpeluang menambah gol kedua menerusi rembatan Akhyar Abdul Rasid pada minit ke-87,
namun jaringan tersebut tidak dikira walaupun kelihatan seperti melepasi
garisan gol. Bagaimanapun, Kim Swee berkata, beliau akur dengan keputusan
pengadil perlawanan.
“Saya perlu melihat
semula untuk berlaku adil. Saya tidak pasti jaringan tersebut dikira atau tidak
kerana penting untuk kami menilai persembahan pasukan secara keseluruhan bukan
hanya daripada jaringan Akhyar sahaja,” katanya.


Tiada ulasan:
Catat Ulasan