CHANGSHU, China 11 Jan.
- Jurulatih skuad bawah 23 (B-23), Datuk Ong Kim Swee menegaskan tiada gunanya
untuk beliau menerapkan corak permainan bertahan dalam setiap perlawanan
Kumpulan C Kejuaraan Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) (B-23).
Walaupun tewas 4-1
kepada Iraq dalam aksi pertama kumpulan, namun Kim Swee masih menaruh harapan
bahawa anak-anak buahnya boleh mencipta kejutan untuk perlawanan seterusnya
menentang Jordan di Stadium Changshu, Sabtu ini.
Tegasnya, Malaysia mampu
memberi saingan dalam kejohanan tersebut bagaimanapun tidak menafikan jika
pemainnya melakukan kesilapan mudah akan membuka peluang kepada lawan untuk
menjaringkan gol.
“Saya boleh datang ke
sini dengan corak taktikal bertahan untuk setiap perlawanan tetapi apa yang
kita boleh pelajari selain bertahan? Kita tidak boleh belajar corak permainan
yang kita inginkan.
“Bagaimanapun, saya
fikir untuk pendedahan yang lebih baik kita perlu bermula dengan corak
permainan sendiri.
“Ia terbukti berkesan
(ketika menentang Iraq), cuma kita hilang kawalan dan itu menjadi punca
kekalahan,” katanya kepada pemberita di Padang Latihan Sekolah Tinggi Changshu
hari ini.
Kim Swee berkata,
anak-anak buahnya perlu kembali fokus kerana mengakui Jordan dan Arab Saudi
yang terikat 2-2 dalam aksi pertama adalah lawan setara seperti juara 2013,
Iraq.
Hari ini Kim Swee
mengadakan latihan seperti biasa tanpa kehadiran ketua pasukan, Adam Nor Azlin
dan penyerang, N. Thanabalan yang direhatkan akibat masalah kesihatan serta
kecederaan.
“Adam demam sebelum
perlawanan lagi namun dia tetap mahu beraksi manakala Thanabalan kemungkinan
besar tidak dapat diturunkan menentang Jordan bagaimanapun masih terlalu awal
untuk membuat keputusan kerana saya perlu meneliti laporan doktor,” katanya. -
UTUSAN ONLINE

Tiada ulasan:
Catat Ulasan