CHANGSHU, China 9 Jan. - Mungkin mahu
menunjukkan kepada Iraq bahawa tidak elok merenung tajam kepada orang lain,
jurulatih skuad negara Datuk Ong Kim Swee tidak memandang wajah rakan
sejawatannya Abdul Ghani Shahad ketika bersalaman sewaktu sesi sidang akhbar
menjelang pertemuan kedua-dua pasukan.
Malaysia akan menentang Iraq untuk perlawanan
pertamanya dalam sejarah Kejohanan Bawah 23 AFC esok, dan pasukan lawan telah
memulakan serangan psikologi ke atas skuad negara apabila pemainnta merenung
secara berdepan ketika bertemu pemain negara di dalam lif hotel tempat mereka
menginap baru-baru ini.
Dalam sidang akhbar praperlawanan hari ini, Kim
Swee seolah-olah membalas provokasi itu apabila bersalaman tanpa melihat wajah
Abdul Ghani.
Iraq merupakan pasukan pilihan untuk perlawanan
di Stadium Changshu esok, malah antara pasukan yang disebut-sebut sebagai mampu
memenangi kejohanan kali ini, namun terdapat berita baik buat kem negara
apabila dua tonggak pasukan dari Teluk itu iaitu Aymen Hussein dan Ahmad Mohsin
Jaber tidak dapat diturunkan kerana masih dalam tempoh digantung perlawanan.
Ayman merupakan penjaring terbanyak dalam
pusingan kelayakan pada Julai lalu dengan enam gol tidak dapat beraksi dua
perlawanan pertama peringkat kumpulan kerana mengutip kad merah manakala Ahmad
Mohsin digantung satu permainan setelah mengumpul dua kad kuning.
Namun, Kim Swee menganggap kekuatan Iraq tidak
akan berkurangan tanpa dua pemain penting mereka.
“Bagi saya tidak ada beza pun sebab tanpa dua
pemain utama ini mereka tetap ada pemain lain yang boleh memberi saingan kepada
Malaysia.
“Iraq ada sejarah yang baik dalam kejohanan ini
dan begitu juga di peringkat skuad senior mereka. Namun, kami ke sini bukan
mahu mengambil bahagian semata-mata tetapi penting untuk pemain keluar daripada
perlawanan dengan membawa kejayaan.
“Saya berharap pemain mengambil kesempatan untuk
menimba pengalaman daripada kejohanan ini agar mereka dapat mempelajari sesuatu
untuk masa depan. Saya percaya dengan taktikal yang tepat kita boleh
mendapatkan keputusan positif,” katanya dalam sidang akhbar di Stadium Changshu
hari ini.
Dalam pada itu, Kim Swee berkata meskipun
pasukannya mencatat keputusan positif ketika beraksi dalam Sukan SEA 2017 pada
Ogos lalu namun bekas pengendali skuad kebangsaan itu berkata kejohanan kali
ini adalah berbeza tetapi tidak menolak anak buahnya mampu melakukan kejutan.
“Sukan SEA 2017 adalah pertandingan yang berbeza
dengan Kejohanan B-23 AFC sebab cabaran lebih besar. Dalam kejohanan ini tiga
lawan kami dari Asia Tengah iaitu Iraq, Arab Saudi dan Jordan, bagaimanapun
jika kami bekerja keras tidak mustahil kejutan dapat dicipta,” katanya.
Iraq merupakan juara edisi 2013 manakala Arab
Saudi naib juara manakala Jordan di tempat ketiga. Malaysia pula kali pertama
melayakkan diri. – UTUSAN
DOMINIC TAN (dua dari kanan) cuba menggelecek rakannya sewaktu sesi
latihan Malaysia di Stadium Changshu, China semalam. Malaysia akan bertemu Iraq
pada perlawanan pertama mereka dalam Kejohanan B-23 AFC hari ini. - UTUSAN

Tiada ulasan:
Catat Ulasan