JURULATIH Jordan, Iain Richard Brunskill meramalkan akan berlaku
kejutan dalam saingan Kumpulan C Kejohanan Konfederasi Bolasepak Asia (AFC)
Bawah 23 (B-23) Tahun yang bermula di Changshu, China esok.
Pengendali kelahiran England itu berkata, saingan Kumpulan C
yang turut membabitkan juara edisi 2013, Iraq, naib juara Arab Saudi serta
Malaysia pasti mencabar buat anak buahnya.
"Standard kejohanan ini tinggi, ramai pemain yang berbakat
dan setiap pasukan membuat persiapan rapi. Saya percaya akan berlaku kejutan
dalam saingan kumpulan ini," katanya dalam sidang media praperlawanan,
hari ini.
Pencapaian Jordan di pusingan akhir agak memberangsangkan
apabila menduduki tempat ketiga pada edisi pertama di Oman 2013 manakala
terkandas di suku akhir dua tahun lalu.
Bagaimanapun, mereka bakal berdepan ujian hebat pada aksi
pembukaan menentang Arab Saudi di Stadium Changshu jam 7.30 malam esok.
"Arab Saudi pasukan
yang bagus, mereka pernah beraksi di final sebelum ini dan mempunyai pemain
yang bagus. Namun, kami bukan hanya membuat persiapan menentang Arab Saudi tapi
untuk setiap perlawanan. Saya harap kami dapat bermula dengan keputusan
positif," katanya.
Sementara itu, jurulatih
Arab Saudi, Daniel Teglia menegaskan mereka tidak tertekan meskipun diletakkan
harapan tinggi untuk melepasi halangan Kumpulan C.
"Kami gembira beraksi
di pusingan akhir ini. Saya akui saingan Kumpulan C sukar tapi kami mempunyai
pemain yang bagus untuk memberikan saingan. Tiada perlawanan yang mudah dan
kemenangan pertama esok penting untuk kami layak ke pusingan seterusnya,"
katanya.
Arab Saudi layak ke
pusingan akhir selepas muncul naib juara kelayakan Kumpulan B tahun lalu di
belakang Iraq yang turut menewaskan mereka 1-0 pada final pusingan akhir edisi
2013 di Oman.
JURULATIH Jordan, Iain Richard Brunskill
meramalkan akan berlaku kejutan dalam saingan Kumpulan C.
JURULATIH skuad B-23, Datuk Ong Kim Swee (dua dari kiri) bersama rakan sejawatannya, Iain Richard Brunskill dari Jordan (dua dari kanan), Daniel Teglia dari Arab Saudi (kiri) dan Abdul Ghani Shahad dari Iraq pada sidang media praperlawanan, hari ini.


Tiada ulasan:
Catat Ulasan