KUNSHAN, China 14 Jan. - Jurulatih skuad bawah
23 (B-23) negara, Datuk Ong Kim Swee menegaskan beliau tidak berasa tertekan
untuk menghadapi Arab Saudi dalam aksi terakhir Kumpulan C Kejuaraan Bawah 23
Konfederasi Bola Sepak Asia di Stadium Kunshan pada Selasa ini.
Perlawanan tersebut merupakan peluang terakhir
Malaysia untuk melayakkan diri ke peringkat suku akhir memandangkan persaingan
bagi keempat-empat pasukan dalam Kumpulan C masih terbuka luas.
Walaupun Malaysia menghuni tangga tercorot
dengan satu mata namun Arab Saudi yang menduduki tempat ketiga berkongsi dua
mata dengan Jordan tetapi dipisahkan dengan perbezaan gol manakala Iraq di
tempat teratas mengumpul empat mata.
Jurulatih dari Melaka itu berkata, tumpuan
pastinya diberikan kepada skuad kendalian Daniel Edgardo
menandangkan Arab Saudi
merupakan pasukan yang kuat, malah berdasarkan rekod kejohanan mereka pernah
muncul naib juara edisi 2013.
“Arab Saudi tidak mempunyai banyak perbezaan
dengan pasukan Arab yang lain seperti Iraq dan Jordan. Mereka memiliki corak
permainan yang pantas dan skil individu pemain yang baik dan boleh memberi
masalah terutamanya di bahagian benteng pasukan.
“Sudah tentu Arab Saudi adalah pasukan pilihan
untuk perlawanan Selasa ini dan saya tahu mereka pasti mahukan sekurang-kurangnya
satu mata untuk mara ke peringkat suku akhir.
“Bagaimanapun, pada masa sama kita juga
memerlukan kemenangan untuk memastikan tiket ke suku akhir menjadi milik
Malaysia. Saya fikir pasti Arah Saudi lebih tertekan kerana mereka juga
memerlukan keputusan positif,” katanya ketika ditemui pemberita selepas latihan
di sini hari ini.
Peluang Malaysia untuk melepasi peringkat
kumpulan kembali cerah apabila berjaya mengikat Jordan 1-1 dalam aksi kedua di
Stadium Changshu semalam. Pada aksi pertama Malaysia menerima tamparan apabila
dibelasah 4-1 oleh Iraq di venue yang sama Rabu lalu.
Mengulas lanjut mengenai keadaan pemain, Kim
Swee berkata, tiada anak-anak buahnya berdepan hukuman penggantungan
perlawanan namun bimbang dengan beberapa pemain yang mengalami kecederaan.
“Tiada pemain yang digantung tetapi Safawi
Rasid, Dominic Tan, Syazwan Andik Ishak dan Irfan Zakaria menghadapi sedikit
kecederaan tetapi saya akan memantau keadaan mereka sama ada boleh bermain
menentang Arab Saudi atau tidak,” katanya.

Tiada ulasan:
Catat Ulasan