Komentar
KEJAYAAN skuad negara mara ke suku akhir Kejohanan Konfederasi
Bolasepak Asia (AFC) Bawah 23 (B-23) Tahun di Kunshan, China bukan sekadar
melakar sejarah, malah ia cukup penting buat bola sepak negara memulakan
langkah baharu selepas sekian lama merudum.
Malah, dengan ranking skuad senior negara berada di tangga 174
dunia, mungkin ada harapan baharu untuk kita sandarkan dengan kejayaan yang
dicipta anak buah Datuk Ong Kim Swee itu.
Memang benar, itu bukan gaya permainan yang kita semua inginkan
dengan skuad negara lebih banyak bertahan selepas rembatan Daniel Amier Nor
Hisham pada minit ke-28 menembusi gawang Arab Saudi, naib juara 2013 pada aksi
terakhir Kumpulan C.
Tetapi bertahan juga adalah taktikal dan ia memerlukan disiplin,
kesungguhan dan mental yang kuat untuk berdepan situasi getir, jadi pujian
harus diberikan kepada pemain.
Siapa yang berani meletakkan harapan tinggi berdepan pasukan
muda dari negara yang layak ke Piala Dunia Russia tahun ini?
Malah kemenangan ini dapat melupakan aib yang ditanggung lebih
dua tahun apabila skuad Harimau Malaya tewas 1-2 di tangan Arab Saudi pada aksi
kelayakan Piala Dunia 2018 di Stadium Shah Alam yang dicemari dengan kekecohan
penyokong.
Perlawanan itu terpaksa ditangguhkan pada minit ke-88 dengan
segelintir penyokong membaling suar dan bom asap kerana marah dengan kekalahan
0-10 di tangan Emiriah Arab Bersatu (UAE) pada 3 September 2015.
Kim Swee ketika itu menjadi pengendali sementara skuad
kebangsaan dan pastinya kejayaan ini biarpun tahap berbeza, ia cukup manis
untuk dikenang.
Namun, pemain negara tidak boleh terus dibuai dengan kejayaan
berada di kelompok lapan pasukan terbaik Asia kerana mereka masih ada peluang
melangkah jauh apabila beraksi di suku akhir pada 20 Januari ini.
Kim Swee masih perlu memperbaiki kelemahan khususnya prestasi
penyerang Jafri Firdaus Chew dan R Kogileswaran yang belum menemui sentuhan
selepas tiga perlawanan.
Apa
yang diharapkan agar barisan pemain utama dapat segera pulih daripada kepenatan
dan kecederaan seperti Matthew Davies, Safawi Rasid sebelum aksi suku akhir
memandangkan pemain gantian dilihat sukar memberi impak sama dalam permainan.

Tiada ulasan:
Catat Ulasan