KUNSHAN, China 16 Jan. - Pengendali Skuad Bawah
23 (B-23) tahun negara, Datuk Ong Kim Swee berkata, kejayaan melakar sejarah
mara ke suku akhir Kejuaraan Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) Bawah 23 (B-23)
hanya dalam penampilan sulung membuktikan Malaysia mampu memberi saingan di
peringkat tertinggi.
Kata Kim Swee, anak-anak buahnya menunjukkan
keberanian ketika mengejutkan Arab Saudi 1-0 untuk muncul naib juara Kumpulan C
di belakang Iraq yang mengalahkan Jordan 1-0 dalam satu lagi perlawanan.
Katanya lagi, aksi di Stadium Kunshan itu juga
membuktikan bola sepak Malaysia masih mempunyai masa depan yang cerah dan
pasukannya bersedia menghadapi cabaran lebih besar di suku akhir, biarpun tidak
diberi harapan pada awal penampilan.
“Keputusan yang baik dan secara keseluruhan
pemain menunjukkan keberanian untuk berjuang melepasi peringkat kumpulan. Saya
tidak mahu bercakap mengenai persembahan pemain pada malam ini kerana untuk
perlawanan penting seperti ini keputusan menjadi keutamaan saya.
“Saya berpuas hati dengan keputusan yang dicatat
dan ini merupakan detik bersejarah buat bola sepak negara kita dan juga
pencapaian yang membanggakan untuk bola sepak tempatan.
“Kejayaan pada malam ini menunjukkan Malaysia
boleh bersaing di peringkat tertinggi dan saya fikir kami sudah tidak kalahkan
Arab Saudi untuk tempoh yang lama dan kami juga berjaya mengikat Jordan,”
katanya dalam sidang media sejurus tamat perlawanan tersebut di sini hari ini.
Pemain tengah Danial Amier Norhisham diangkat
sebagai wira negara selepas meledak gol tunggal pada minit ke-28 untuk membawa
pasukan negara layak ke peringkat suku akhir buat kali pertama.
Bagaimanapun skuad Kim Swee utuh bertahan
sepanjang babak kedua dengan serangan bertali arus daripada pihak lawan yang
buntu membolosi kubu pertahanan negara.
Malaysia muncul naib juara Kumpulan C dengan
empat mata dan mereka akan bertemu juara Kumpulan D sama ada Korea Selatan,
Vietnam atau Australia dalam aksi suku akhir pada 20 Januari ini. - UTUSAN
ONLINE

Tiada ulasan:
Catat Ulasan