JURULATIH negara, Datuk Ong Kim Swee mengingatkan anak buahnya
tidak terus dibuai kejayaan mengejutkan Arab Saudi 1-0, semalam kerana misi
mereka belum berakhir dengan cabaran besar menanti di suku akhir Kejohanan
Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) Bawah 23 (B-23) Tahun, Sabtu ini.
Beliau menegaskan, tidak kira siapa lawan mereka sama ada
Australia, Korea Selatan, Vietnam dan Syria yang bersaing merebut slot ke suku
akhir dalam Kumpulan D, ia tetap perlawanan sukar.
“Kita tahu keempat-empat pasukan Kumpulan D mempunyai peluang
sama, sesiapa yang akan kita temui pasti akan beri saingan sengit, di mana
peringkat suku akhir adalah membabitkan lapan pasukan terbaik Asia.
“Jika Vietnam sekalipun, mereka mempunyai persiapan cukup baik
dengan berada di Korea Selatan sebelum ke China, jadi saya tak nampak satu
perlawanan mudah mahupun bertemu Korea Selatan, Australia, Vietnam atau Syria,”
katanya ketika ditemui di sini, hari ini.
Malaysia melakar sejarah menjadi wakil Asia Tenggara pertama
mara ke suku akhir kejohanan ini sejak 2013 apabila muncul naib juara Kumpulan
C dengan mengumpul empat mata hasil kemenangan ke atas Arab Saudi 1-0, seri 0-0
dengan Jordan dan tumpas 1-4 kepada Iraq.
Berdasarkan kedudukan itu, skuad negara yang tampil buat kali
pertama akan berdepan juara Kumpulan D di Stadium Kunshan Sabtu ini.
Kim Swee yang pernah membimbing pasukan memenangi pingat emas
Sukan SEA 2011 di Jakarta berkata, semua pemain tidak boleh mensia-siakan
peluang beraksi di pentas suku akhir.
“Kejayaan Sukan SEA sangat manis tapi kejayaan ini lebih besar
kerana ini peringkat Asia. Dengan pencapaian ke suku akhir, pasukan negara akan
ada kelebihan pada undian kejohanan seterusnya apabila kita akan berada dalam
balang 1 pada 2019.
“Kita boleh meraikan kejayaan ini tapi kita harus kembali fokus
di mana kita ada perlawanan suku akhir dan jangan lepaskan peluang untuk
mencipta satu lagi sejarah,” katanya.
Kim
Swee memberikan rehat kepada semua pemain hari ini sebelum kembali menjalani
latihan seperti biasa esok.

Tiada ulasan:
Catat Ulasan