Featured post

📆 Jadual perlawanan CIMB Liga Super dan Liga Premier musim 2020!#LigaMalaysiaKembali#CIMBLigaSuper2020#LigaPremier2020

📆 Jadual perlawanan CIMB Liga Super dan Liga Premier musim 2020! Untuk download,  https:// https:/U/ we.tl/t-O8tyMSagYQ Anda bole...

Khamis, 25 Januari 2018

‘Jangan tolak tawaran’

JOHOR BAHRU 24 Jan. - Pemain muda khususnya anggota skuad bawah 23 tahun negara sepatutnya merebut peluang jika ditawarkan bermain dengan kelab luar, kata Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Tunku Ismail Sultan Ibrahim.
Kejayaan skuad bawah 23 negara mencipta sejarah mara ke suku akhir pada penampilan pertama mereka dalam Kejohanan AFC Bawah 23 di China telah membuatkan beberapa kelab luar negara terpikat dengan beberapa anak buah Datuk Ong Kim Swee.
Paling menonjol ialah pemain sayap Akhyar Abdul Rashid yang dikatakan mula dirisik oleh juara Thailand empat kali, Buriram United. Pemain dari Kedah itu juga dikatakan menarik minat kelab Indonesia dan Jepun.
Tawaran itu, jika benar, kata Tunku Ismail perlu direbut oleh pemain muda negara kerana pe­ngalaman yang bakal diperoleh dalam liga lebih kompetetif dapat memantapkan lagi permainan mereka sekali gus memberi manfaat kepada pasukan kebangsaan.
“Saya berdoa mana-mana pemain muda yang berpeluang (terimalah) untuk pergi ke luar negara dan main di peringkat le­bih tinggi. Pada saya sesiapa pun yang dapat peluang atau tawaran untuk beraksi dalam pertan­dingan yang lebih tinggi mereka harus pergi.
“Apabila mereka bermain di peringkat yang lebih tinggi, banyak memberi kelebihan kepada kita kerana akhirnya selepas mereka balik mereka boleh berkhidmat dan menyumbang untuk pasukan kebangsaan,” katanya selepas Majlis Penyerahan Sijil Malaysia Book of Records (MBOR) kepada Kelab Johor Darul Ta'zim (JDT) di sini hari ini.
Ditanya mengenai peranca­ngan FAM untuk meningkatkan lagi prestasi skuad bawah 23 negara selepas kejayaan di China, Tunku Ismail memberitahu ke­tua jurulatihnya Kim Swee akan dihantar untuk menjalani kursus bersama kelab terkemuka Sepanyol, Atletico Madrid pada Mac ini.
Menurutnya, langkah itu bertujuan membolehkan Kim Swee menimba pengalaman dan memantapkan lagi ilmu kejurulatihan.
“Kim Swee mungkin akan dihantar ke Atletico Madrid untuk tempoh sebulan atau dua bulan untuk menghadiri kursus berkaitan kejurulatihan. Me­ngenai hala tuju skuad bawah 23 pula, kami masih perlu berbincang dengan lebih terperinci lagi,” katanya.
Tunku Ismail turut memaklumkan akan ada beberapa pemain daripada skuad bawah 23 akan diserapkan ke dalam pa­sukan senior untuk menghadapi kejohanan antarabangsa akan datang sebagai pendedahan dan menyediakan mereka lebih awal dengan perlawanan tahap tinggi.
Sementara itu, Kim Swee yang dihubungi berkata, dia akan hanya mengulas mengenai penghantarannya ke Atletico selepas bertemu Tunku Ismail.

“Sekarang saya sedang bercuti bersama keluarga sekembali dari China. Saya perlu bertemu Tunku Ismail dan mendapatkan pe­nerangan lanjut daripada ba­ginda terlebih dahulu mengenai perancangan ini,” katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan