KUALA LUMPUR: Godaan perempuan, wang dan glamor adalah tiga
perkara yang perlu ditangani dengan bijak oleh pemain muda negara, Akhyar Abdul
Rashid jika mahu terus cemerlang dalam karier bola sepak.
Bekas jurulatih Kedah, Azraai Khor Abdullah berkata, kegagalan
menangani tiga elemen itu kerap menjadi racun kepada pemain muda negara
sehingga akhirnya bakat luar biasa mereka tenggelam begitu saja.
Beliau mengingatkan perkara itu ekoran perhatian diterima Akhyar
selepas mempamer prestasi cemerlang bersama skuad negara pada Kejohanan
Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) Bawah 23 Tahun (B-23) yang sedang berlangsung
di China.
Menurut Azraai, segala pujian serta sanjungan yang diberi memang
selayaknya diterima Akhyar namun beliau bimbang ia boleh melekakan pemain berusia
18 tahun itu sehingga hilang fokus.
"Tidak dinafikan, Akhyar adalah pemain paling menonjol
dalam perlawanan menentang Jordan, Sabtu lalu. Dia memang layak menerima
pujian.
"Bagi saya, dengan kualiti yang dimiliki sekarang, dia
mempunyai prospek untuk pergi lebih jauh tapi bergantung sejauh mana dia mampu
menangani cabaran seterusnya. Ini baru permulaan, perjalanannya masih jauh.
"Selepas ini dia bakal berdepan dengan pelbagai godaan.
Peminat, terutama perempuan akan mula 'menghimpit' dirinya, tawaran gaji
lumayan pasti menjelma dan kehidupan bertukar glamor.
"Tiga faktor ini sering menjadi pemusnah karier pemain muda
kita bila mereka mula leka dibuai keseronokan, kemewahan dan kemasyhuran.
Akhirnya bakat mereka hanyut dan tenggelam.
"Oleh itu, nasihat saya kepada Akhyar, berhati-hatilah,
jangan mudah gelap mata dan tersalah langkah kerana ia amat merugikan,"
katanya.
Azraai juga mahu pemain muda Kedah itu memasang impian di luar
kotak pemikiran kebanyakan pemain Malaysia yang lebih selesa bermain di negara
sendiri.
"Saya harap Akhyar tidak akan jadi katak di bawah tempurung
kerana jika kekal bermain dalam liga kita, bakatnya akan terbantut dan tidak
sampai ke mana.
"Kalau boleh, saya
mahu melihat dia beraksi dalam Liga Jepun atau Korea Selatan satu hari nanti.
Namun, dia perlu merancang dengan baik serta mempunyai mental yang kuat. Sudah
tentu apabila bermain di luar negara, dia akan berdepan pelbagai cabaran
seperti corak latihan, persekitaran, budaya, makanan dan iklim. Tapi, untuk
berjaya dia perlu menghadapinya," kata Azraai.PEMAIN skuad B-23 negara dan Kedah, Akhyar Rashid (tengah) ketika sesi latihan di Wisma FAM. - Foto Luqman Hakim Zubir

Tiada ulasan:
Catat Ulasan