Penjaga gol muda negara, Haziq Nadzli menggesa rakan sepasukan
supaya lebih berwaspada dengan gerakan 'set-piece' Arab Saudi apabila mereka
membuat perhitungan terakhir Kumpulan C bagi merebut tempat ke suku akhir
Kejohanan AFC Bawah 23 Tahun (B-23) di Stadium Kunshan, China hari ini.
Dia berkata, dengan kelebihan fizikal yang dimiliki, Arab Saudi
pasti akan berusaha menggunakan setiap ruang dan peluang untuk menembusi gawang
negara.
"Sekarang kami berdepan misi wajib menang dan di atas
kertas, Arab Saudi adalah pasukan besar namun kita tidak boleh terlalu
menghormati mereka.
"Bagi saya, ini adalah pertemuan 11 lawan 11, saya akui
mereka bahaya terutama dalam situasi bola mati dan hantaran lintang sebab
mereka ada ramai pemain yang tinggi.
"Bagaimanapun, sebagai penjaga gol, saya perlu menggunakan
kelebihan saya untuk membantu bahagian pertahanan," katanya ketika ditemui
hari ini.
Haziq, 20, tidak beraksi ketika Malaysia tewas 1-4 kepada Iraq
dalam aksi pembukaan namun diberi kepercayaan mengambil tempat Ifwat Akmal Chek
Kassim ketika menentang Jordan yang berkesudahan seri 1-1.
Dia berharap akan terus diberi peluang oleh pengendali Datuk Ong
Kim Swee bagi aksi menentang naib juara 2013, Arab Saudi hari ini dalam misi
memburu kemenangan andai mahu meloloskan diri ke pusingan kedua.
"Ketika menentang Jordan, kita kerap diasak pada saat akhir
permainan dan saya banyak beri arahan di bahagian pertahanan. Saya perlu
membantu pertahanan dan mereka perlu melakukan perkara yang sama,"
katanya.

Tiada ulasan:
Catat Ulasan