KUNSHAN, China 21 Jan. - Kejayaan
skuad bawah 23 (B-23) mencipta kejutan dalam kempen Kejohanan AFC Bawah 23
membuktikan masih ada sinar untuk bola sepak tempatan berkembang.
Skuad kendalian Datuk Ong Kim
Swee itu merupakan penyambung kepada masa depan bola sepak negara dan mungkin
sudah tiba masanya untuk mereka diberi peluang beraksi bersama Harimau Malaya.
Jurulatih skuad kebangsaan, Tan
Cheng Hoe yang turut berada di sini berkata dia sendiri sudah menyaksikan
pasukan B-23 negara beraksi dan mengakui beberapa nama telah dikenal pasti
untuk diserap ke dalam Harimau Malaya.
Mereka mungkin akan dipanggil
untuk menganggotai skuad yang akan beraksi dalam perlawanan terakhir kelayakan
akhir Piala Asia 2019 menentang Lebanon pada 27 Mac nanti. Malaysia telah pun
terkeluar daripada persaingan, dan pemerhati bola sepak negara sebelum ini
meluahkan pandangan bahawa perlawanan di Stadium Camille Chamoun, Beirut itu
seharusnya digunakan untuk menguji pemain-pemain baharu dan muda.
“Saya ada mengenal pasti beberapa
pemain untuk dipanggil dan antaranya adalah Matthew Davies, Safawi Rasid, Nor
Azam Azih, Irfan Zakaria, Akhyar Rashid dan Haziq Nadzli.
“Bagaimanapun, mungkin masih
terlalu awal untuk saya membuat keputusan kerana Liga Malaysia (Liga M) masih
belum bermula dan jika mereka menunjukkan aksi konsisten tiada masalah untuk
dipanggil menyertai skuad senior.
“Sebenarnya semua pemain B-23 ini
ada masa lagi untuk beraksi bersama skuad senior. Bagi saya lebih ramai lebih
bagus kerana ini semua untuk masa depan skuad senior. Umur 22 dan 23 tahun
paling tepat untuk menyertai pasukan senior,” katanya kepada pemberita di sini
baru-baru ini.
Cheng Hoe yang sempat menyaksikan
dua perlawanan skuad B-23 negara di peringkat kumpulan berkata, anak-anak buah
Kim Swee perlu memanfaatkan peluang mereka untuk meningkatkan mutu permainan
apabila beraksi dalam kejohanan tertinggi di Asia.
“Ini pengalaman terbaik untuk pemain kerana mereka semua adalah
masa depan bola sepak negara. Banyak perkara yang boleh dipelajari daripada
kejohanan ini yang perlu dipertingkatkan antaranya teknikal, mental dan
fizikal,” katanya. – UTUSAN
Tiada ulasan:
Catat Ulasan