KUNSHAN, China 21 Jan. - Prestasi mengagumkan
ditunjukkan skuad bimbingannya meyakinkan Datuk Ong Kim Swee untuk meletakkan
sasaran lebih tinggi pada masa depan, iaitu bermain dalam Sukan Olimpik 2020.
Malaysia menamatkan persaingan dalam Kejohanan
AFC Bawah 23 di sini dengan reputasi tinggi walaupun tewas kepada Korea Selatan
2-1 dalam perlawanan suku akhir. Walaupun tentunya kecewa, namun kekalahan itu
berlaku selepas skuad muda negara mempamerkan permainan membanggakan dan
memaksa kuasa bola sepak Asia itu bekerja keras hingga minit terakhir untuk
memastikan kemenangan.
Skuad negara hadir ke China tanpa disandarkan
harapan namun mencipta sejarah apabila mara suku akhir selepas menumpaskan pasukan
pilihan Arab Saudi 1-0 setelah sebelumnya seri 1-1 dengan Jordan, yang
merupakan naib juara edisi pertama pada 2013 dalam perlawanan peringkat awal.
Sepanjang kempen edisi ketiga ini, anak-anak
buah Kim Swee bermain tanpa rasa takut kepada lawan yang memiliki reputasi
lebih tinggi, dan membuktikan betapa matangnya permainan mereka selepas
kekalahan 4-1 kepada Iraq dalam perlawanan pertama peringkat kumpulan.
Nota cemerlang itu membuatkan Kim Swee berasakan
perlunya sasaran lebih tinggi diletakkan kepada skuadnya dengan Olimpik 2020 di
Tokyo menjadi sasarannya walaupun mengakui cabaran adalah lebih sukar.
Untuk beraksi dalam temaysa terbesar di dunia
itu bermakna skuad negara perlu menamatkan Kejohanan AFC B-23 edisi 2020 dalam
kelompok tiga pasukan terbaik dan Kim Swee menegaskan persediaan rapi perlu
bermula dari sekarang.
“Layak ke suku akhir kejohanan ini adalah
penanda aras yang cukup baik, dan bagi saya untuk kejohanan seterusnya kita
perlu ada sasaran.
“Melihat kepada kejayaan kita di sini, sudah
tentu sasaran pada masa depan mesti lebih tinggi. Tidak mustahil untuk
mencapainya dengan syarat kita perlu bersedia daripada sekarang.
“Kita tidak boleh letak sasaran ketika kejohanan
hendak bermula. Kita ada dua tahun lagi untuk menghadapi kejohanan akan datang.
Selepas ini, kejohanan ini akan memberikan tempat untuk ke Sukan Olimpik 2020.
“Langkah saya tidak akan berhenti di sini.
Sasaran peribadi saya adalah layak ke Olimpik 2020 walaupun tidak dinafikan
untuk muncul tiga pasukan terbaik dalam kejohanan seterusnya bukan mudah,”
katanya di sini hari ini.
Katanya lagi, 12 pemain dalam skuadnya ketika
ini masih layak beraksi untuk kejohanan edisi seterusnya dan Sukan Olimpik
2020, bermakna ketika itu permainan mereka seharusnya sudah semakin matang.
Mngulas mengenai kekalahan tipis kepada Korea
Selatan di Stadium Kunshan semalam, jurulatih dari Melaka itu mengakui
perlawanan itu menghidangkan banyak perkara yang dapat dipelajari pasukannya.
“Ini satu pencapaian yang positif kerana bukan
sahaja kita layak tetapi kita dapat corak permainan yang diingini, itu lebih
penting. Kita ada keyakinan untuk bermain seperti pasukan lain.
“Namun, kita tidak boleh bepuas hati dengan apa
yang ada. Saya perlukan banyak ruang untuk mengenal pasti apa yang perlu
dilakukan seterusnya. Saya juga fikir ini petanda positif untuk Sukan Asia 2018.
“Pemain menerima banyak pendedahan daripada kejohanan ini, yang mana
kita boleh melihat corak permainan pasukan lawan, beraksi dalam perlawanan berintensiti
tinggi serta menggunakan corak permainan yang berbeza,” jelasnya. – UTUSANON
ONG KIM SWEE
Tiada ulasan:
Catat Ulasan