KEKECEWAAN
disingkirkan daripada skuad ke Kejuaraan Bawah 23 tahun (B-23), Konfederasi
Bolasepak Asia (AFC) 2018 sudah dilupakan dan kini perlu fokus sepenuhnya untuk
mengharungi saingan Liga Malaysia (Liga M) musim hadapan.
Itu
tekad pemain tengah Perak, Ahmad Khairil Anuar Zamri yang mengakui dia enggan
memikirkan isu penggugurannya daripada kejohanan berprestij itu, malah mahu
terus bekerja keras untuk merebut tempat dalam kesebelasan utama skuad The Bos
Gaurus.
“Mungkin
tiada rezeki untuk mewakili skuad B-23, jadi buat masa ini, saya kekal fokus
dalam melakukan persiapan lengkap untuk menjadi pemain yang lebih baik pada
musim baharu ini.
“Saya
tidak mahu memikirkan mengenai perkara lain kerana ketika ini, fokus dan
komitmen saya adalah 100 peratus buat Perak,” katanya.
Pada
aksi bertemu FELCRA FC di Stadium Arena Universiti Malaya (UM) pada Sabtu lalu,
pemain berusia 22 tahun itu beraksi cemerlang apabila meledak dua gol untuk
membantu pasukannya membenam pendatang baharu Liga Perdana terbabit menerusi keputusan
5-1.
Mengulas
lanjut mengenai posisinya selaku pemain sayap kanan pada aksi persahabatan itu,
pemain yang lebih dikenali sebagai ‘Beto’ itu mengakui tidak berdepan masalah
untuk beraksi mengikut posisi ditetapkan jurulatih, Mehmet Durakovic.
“Saya
agak selesa beraksi di sebelah kanan, tetapi saya tidak kisah beraksi di posisi
mana pun, asalkan saya diturunkan untuk beraksi dalam perlawanan.
“Namun, saya tahu saya
tidak boleh cepat selesa dengan kedudukan setakat ini dan perlu terus bekerja
keras supaya sentiasa dapat memberikan persembahan yang terbaik,” katanya.

Tiada ulasan:
Catat Ulasan