JURULATIH negara, Datuk Ong Kim Swee mahu anak buahnya mengambil
kesempatan ke atas Arab Saudi yang tampak lebih tertekan dalam aksi terakhir
Kumpulan C Kejohanan Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) Bawah 23 (B-23) di
Stadium Kushan, Selasa ini.
Katanya, Arab Saudi yang muncul naib juara 2013 pasti akan lebih
terdesak untuk memburu kemenangan pertama selepas hanya seri 2-2 dengan Jordan
dan 0-0 menentang Iraq tatkala tiket ke suku akhir menjadi pertaruhan untuk
direbut kedua-dua pasukan.
“Sudah tentu Arab Saudi adalah pasukan pilihan tapi kita juga
perlukan kemenangan untuk membuka laluan semula layak ke suku akhir.
“Saya rasa Arab Saudi akan rasa lebih tertekan dengan status
mereka di mana mereka perlu mendapatkan keputusan lebih baik daripada kita,”
katanya ketika ditemui pada sesi latihan terakhir pasukan di Changshu sebelum
berpindah ke Kushan hari ini.
Skuad negara kembali mengintai peluang ke suku akhir apabila
seri 1-1 dengan Jordan semalam selepas tewas 1-4 kepada Iraq pada aksi
pembukaan Rabu lalu.
Malaysia yang kini berada di tangga tercorot kumpulan boleh
merebut satu daripada dua slot ke suku akhir andai menewaskan skuad kendalian
Daniel Teglia dan Iraq mengalahkan Jordan dalam satu lagi perlawanan.
Namun apa yang membimbangkan jurulatih berusia 47 tahun itu
adalah tahap kecederaan yang dialami beberapa tonggak termasuk penjaring dua
gol negara dalam kempen ini, Safawi Rasid.
“Tiada pemain yang digantung tapi pemain seperti Safawi, Dominic
(Tan) Syazwan Andik dan Irfan (Zakaria) mempunyai sedikit kecederaan tetapi
kita akan lihat keadaan mereka sama ada boleh beraksi atau tidak.
“Pasukan
Arab Saudi tiada banyak perbezaan dibandingkan Iraq serta Jordan di mana mereka
mempunyai corak permainan pantas dan pemain miliki skil individu cukup baik,”
kata bekas pengendali Harimau Malaya itu.

Tiada ulasan:
Catat Ulasan