MESKIPUN terpaksa mengorbankan masa dan wang ringgit namun
penyokong Malaysia yang bergelar Ultras Malaya tetap setia memberi sokongan
kepada skuad negara dalam mengharungi kempen Kejohanan AFC B-23 di China.
Kira-kira 50 Ultras Malaya sudah berkampung di sini sejak 9
Januari lalu untuk menyaksikan skuad kendalian Datuk Ong Kim Swee menentang
Iraq dan Jordan di Stadium Changshu.
Tanpa menghiraukan cuaca sejuk dengan suhu mencecah 2 Celsius,
mereka tetap berdiri, bersorak dan menyanyi demi memberikan sokongan kepada
pemain muda negara.
Bagi wakil Ultras Malaya, Mohd Ridzuan Ahmad, 39, tiada istilah
rugi buat mereka untuk memberikan sokongan kepada skuad negara tidak kira apa
keputusan yang dicapai pada kejohanan itu.
"Bila kami tahu jadual kejohanan ini, kami terus rancang
untuk datang ke sini, ini tahap yang tinggi untuk pasukan B-23 dan mereka ini
pewaris pasukan senior pada masa akan datang, bila mereka sudah sampai ke tahap
Asia, kami harapkan satu hari nanti bila mereka jadi senior, mereka juga akan
layak ke peringkat Asia.
"Kami tak pernah rasa
rugi untuk menyokong pasukan Malaysia kerana ini maruah negara kita.
Keghairahan kami dalam bola sepak tak pernah luntur jadi apabila sampai di
tahap ini, andai kata pulang awal sekalipun ini adalah proses pembelajaran
supaya tak gagal di peringkat senior nanti," katanya semalam.
Ketika ditanya harapan
terhadap skuad B-23 pada kejohanan itu apabila bertemu Arab Saudi pada aksi
terakhir Selasa ini selepas tewas 1-4 kepada Iraq dan seri 1-1 dengan Jordan,
Ridzuan yang turut dikenali sebagai Lekir percaya dengan kemampuan skuad muda
negara.
"Sekiranya mereka
boleh menjaringkan gol bola padang, mereka boleh merobohkan gawang lawan. Hanya
dua perkara mereka perlu atasi iaitu tidak menyudahkan peluang dan kedua
kesilapan," katanya.
ULTRAS Malaya tetap setia memberi sokongan kepada skuad negara dalam
mengharungi kempen Kejohanan AFC B-23 di China.

Tiada ulasan:
Catat Ulasan