KUNSHAN, China 15 Jan. - Penolong jurulatih
skuad bawah 23 (B-23) Arab Saudi, Saleh Al Mohamdi mengakui pasukannya lebih
tertekan apabila berdepan Malaysia dalam perlawanan terakhir Kumpulan C,
Kejuaraan Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) B-23 di Stadium Kunshan, esok.
Turun dengan reputasi naib juara 2013 dan
pasukan pilihan, Arab Saudi lebih terdesak untuk mencari tiga mata bagi
melayakkan diri ke suku akhir dan tidak mempunyai pilihan kecuali mengalahkan
Malaysia.
Mereka kini menghuni tangga ketiga dengan
berkongsi dua mata bersama Jordan, manakala Malaysia di tempat terakhir dengan
satu mata. Iraq di kedudukan teratas menerusi empat mata.
“Kami sudah bersedia menghadapi Malaysia dan
saya menjangkakan perlawanan esok sengit kerana kedua-dua pasukan memerlukan
tiga mata untuk mara ke suku akhir memandangkan kesemua empat pasukan dalam
Kumpulan C masih berpeluang untuk layak.
“Bagaimanapun, saya akui tekanan lebih dirasai
oleh kami kerana kami akan menentang pasukan yang baru kali pertama membuat
penampilan dalam kejohanan ini, jadi jika keputusan tidak menyebelahi kami
keadaan pasti sukar.
“Ini kali pertama kami menentang Malaysia dan
saya sudah menonton dua aksi mereka sebelum ini. Saya mendapati Malaysia
pasukan yang tersusun dan bagus dalam sepakan bola mati,” katanya ketika
ditemui pemberita di Pusat Arena Aktiviti Kunshan hari ini.
Arab Saudi mempunyai kelebihan apabila 10
daripada pemainnya pernah beraksi bersama skuad senior yang berjaya melayakkan
diri ke Piala Dunia 2018 di Rusia.
Dalam pada itu, Saleh memberitahu dia sudah
mengenal pasti beberapa pemain Malaysia yang perlu diberi perhatian kerana
mampu memberi kesukaran kepada pasukannya.
“Akhyar (Rashid) boleh menyukarkan kami kerana
bijak mengatur gerakan dan Safawi Rasid mampu membolosi gawang kami. Seorang
lagi pemain adalah Irfan Zakaria yang bijak mematahkan serangan lawan,” katanya
lagi. - UTUSAN ONLINE
PEMAIN Arab Saudi menjalani latihan di Pusat Arena Aktiviti Sivik
Kunshan, China hari ini dalam persiapan menghadapi Malaysia pada Kejuaraan AFC
B-23 esok. - UTUSAN/AIZZUL A. MAJID

Tiada ulasan:
Catat Ulasan