KELINCAHAN penyerang muda negara, Akhyar Abdul Rashid mengundang
kebimbangan Arab Saudi menjelang aksi terakhir Kumpulan C Kejohanan Bolasepak
Asia (AFC) Bawah 23 (B-23) Tahun di Stadium Kunshan, China esok.
Biarpun Akhyar, 18, dilaporkan mengalami kecederaan dan masih
50-50 untuk diturunkan, namun Arab Saudi, juara 2013 tetap berwaspada.
Penolong jurulatih Arab Saudi, Saleh Al Mohamdi, mengakui
kelincahan pemain Kedah itu bersama penjaring dua gol negara Safawi Rasid
sememangnya perlu diawasi dalam perlawanan penentu ke suku akhir itu.
"Dia (Akhyar) pemain yang baik dan Malaysia juga pasukan
yang memiliki taktik yang bagus. Selain Akhyar, pemain nombor 6 (Safawi Rasid)
dan pertahanan nombor 17 (Irfan Zakaria) juga nadi pasukan Malaysia.
"Jadi, kami sudah membuat persiapan rapi kerana esok
perlawanan yang sukar buat kami. Arab Saudi dan Malaysia memerlukan kemenangan
untuk mara ke pusingan kedua, tapi kami sudah bersedia," katanya ketika
ditemui pada sesi latihan, hari ini.
Hidup mati Arab Saudi yang dibimbing Daniel Teglia untuk mara ke
suku akhir bergantung kepada keputusan menentang Malaysia selepas hanya seri
2-2 dengan Jordan dan 0-0 berdepan Iraq.
Di atas kertas sememangnya Arab Saudi pasukan lebih ampuh
apabila dibarisi 10 pemain yang pernah menimba pengalaman bersama skuad senior.
Saleh berkata, pemain bersemangat untuk membuktikan kemampuan
masing-masing bagi merebut tempat bersama skuad Piala Dunia di Russia.
"Ini kali pertama lawan Malaysia tapi kami sudah melihat
dua perlawanan Malaysia menentang Iraq dan Jordan, kami tahu Malaysia pasukan
yang baik dan kami sudah membuat persediaan.
"Lagipun, ada pemain yang bagus daripada skuad ini akan
dinilai bagi menyertai skuad ke Piala Dunia," katanya.

Tiada ulasan:
Catat Ulasan