
SHAH ALAM: Pengendali Terengganu FC (TFC), Nafuzi Zain mengakui kegagalan anak buahnya menyempurnakan peluang terhidang untuk menjaring gol menjadi punca utama mereka tewas 1-2 kepada UiTM FC dalam aksi Liga Super, di sini, malam tadi.
Malah, dia menjelaskan kekalahan itu juga menyukarkan untuk skuad Penyu mencabar kedudukan naib juara liga yang kini menjadi rebutan banyak pasukan selepas mahkota kejuaraan seakan sudah sah kekal milik Johor Darul Ta'zim (JDT).
"Kita dihukum sebab kita tak guna peluang yang ada. Kita lagi banyak cipta peluang, cuma kita tak menjaringkan gol dan UiTM menggunakan kesempatan mendapatkan jaringan.
"Bagi saya perlawanan ini tempo tinggi dengan pemain muda UiTM bekerja keras dan fizikal dimiliki pemain import mereka.
"Pemain saya pun beraksi dengan baik, kita cipta peluang tapi ada saat yang kita leka sedikit. Kita tidak memanfaatkan peluang yang ada, itu kesilapan terbesar kita malam ini," katanya mengulas perlawanan itu.
Keputusan di Stadium UiTM Shah Alam itu menyaksikan skuad kendalian Frank Bernhardt mengumpul 13 mata, manakala TFC dengan 10 mata.
Sementara itu, Bernhardt pula memuji semangat juang yang dipamerkan anak buahnya walaupun terpaksa beraksi dengan 10 pemain lebih 20 minit selepas Khuzaimi Piee dilayangkan kad merah.
"Apa yang penting kami mendapat tiga mata hari ini (semalam). Kami mahu pastikan tidak berada dalam zon penyingkiran, itu sasaran utama.
"Kami akan lihat peluang yang ada di depan (merebut tempat kedua). Pemain saya perlu rehat dan kami kena fokus kepada perlawanan seterusnya," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan